بسم الله الرحمن الرحيم

بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL SAW 1446H/2024

Alhamdulillah, telah selesai program Hari Kebesaran Islam, Sambutan Maulidur Rasul SAW 1446H/2024 di Masjid Jamek Bandar Baru UDA dan pertandingan-pertandingan ilmi di peringkat surau-surau BBU. Program yang berjalan tiga hari bermula hari Sabtu hingga Isnin semalam (14-16 September 2024) telah mendapat sambutan yang amat baik dengan penyertaan yang penuh dari ahli kariah BBU dan masyarakat sekitar.

Sambutan Maulidur Rasul tahun ini bermula dengan Pertandingan Berzanji di Surau Al Nur, Ledang dengan penyertaan yang terbuka bagi kategori rendah dan dewasa seramai 21 orang. Pada hari Sabtu, masjid mengadakan Seminar Fiqh Wanita Remaja yang dipimpin oleh Ustazah Hajah Norshila binti Jamal dengan penyertaan seramai 100 orang pelajar wanita.

Pada jam 6.30 petang pula, masjid mengadakan program bacaan berzanji yang dipimpin oleh para imam dan bilal MJBBU. Selepas Maghrib pula, masjid mengadakan Ceramah Perdana Maulidur Rasul SAW 1446H/2024 yang disampaikan oleh Tuan Haji Mohd Taufik bin Dato' Kiyai Shamsuddin. Pada Subuh Ahad, masjid mengadakan Kuliah Subuh Khas Maulidur Rasul SAW yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Sulhi bin Abdul Wahid.

Pada Ahad tersebut, sambutan ini diteruskan dengan pertandingan-pertandingan lain termasuklah Pertandingan Hafazan, Khutbah, Azan, Bercerita dan Marhaban Wanita, di surau-surau BBU seperti Surau Taman Suria Mufakat, Surau Al Falah, Surau Padi Malinja, Surau Pangsapuri Panti dan Surau Skudai Kanan. Kesemua pertandingan ini mendapat sambutan yang amat baik dengan penyertaan penuh.

Pihak masjid mengucapkan jutaan terima kasih dan tahniah kepada para jemaah masjid dan surau-surau kariah BBU dan masyarakat setempat Johor Bahru yang telah menyertai serta menginfakkan harta dan tenaga di dalam penganjuran program-program Sambutan Maulidur Rasul SAW bagi tahun 1446H/2024 kali ini. Semoga dengan penglibatan ini, para hadirin dapat menambahkan ilmu dan memupukkan kasih sayang dan cinta serta rindu kepada junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, kerana tiadalah penglibatan semua dalam menyambut Maulid Al-Nabi SAW melainkan rasa cinta serta memuji Baginda SAW.

قال سلطان العارفين جلال الدين السيوطي في كتابه الوسائل في شرح الشمائل : ما من بيت أو مسجد أو محلة قرئ فيه مولد النبي ﷺ هلا حفت الملائكة بأهل ذلك المكان وعمهم الله بالرحمة

Sultan Al-'Arifin Al-Imam Jalaluddin Al-Suyuti berkata di dalam kitabnya Al-Wasail fi Syarh Al-Syamail : "Tiada satu rumah atau masjid atau tempat yang dibacakan di dalamnya Maulid Al-Nabi SAW melainkan para malaikat akan mengelilingi ahli tempat tersebut dan Allah SWT akan melimpahkan mereka dengan rahmatNya."

قال السري السقطي : من قصد موضعا يقرأ فيه مولد النبي ﷺ فقد قصد روضة من رياض الجنة لأنه ما قصد ذلك الموضع إلا لمحبة الرسول وقد قال ﷺ : من أحبني كان معي في الجنة

Al-Imam Al-Sirri Al-Saqati berkata: "Barangsiapa menghadiri suatu tempat dibacakan Maulid Al-Nabi SAW di dalamnya, maka sesungguhnya dia telah menghadiri salah satu taman dari taman-taman syurga kerana tidak dia hadir ke tempat itu melainkan kerana cinta kepada Rasul. Dan Rasulullah SAW telah bersabda: "Barangsiapa mencintaiku, akan bersamaku di dalam syurga."

قال الحسن البصري قدس الله سره : وددت لو كان لي مثل جبل أحد ذهبا لانفقته على قراءة مولد الرسول (إعانة الطالبين 3/613)

Al-Imam Hasan Al-Basri berkata : "Sekiranya aku mempunyai emas setinggi bukit Uhud, nescaya aku akan membelanjakannya untuk meraikan majlis membaca Maulid Al-Rasul SAW."