بسم الله الرحمن الرحيم

بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين

KEAJAIBAN MENJELANG KELAHIRAN NABI SAW

Bulan Rabiulawal merupakan bulan yang istimewa kerana pada bulan ini, lahirnya junjungan agung Rasulullah SAW. Kelahiran Baginda SAW menjadi titik khatam kenabian dan penyambungan risalah keesaan Allah SWT yang berperanan mengeluarkan umat manusia dari kancah kejahilan, kemaksiatan dan kezaliman kepada cahaya keilmuan, ketaatan dan rahmat.

Menjelang kelahiran Nabi SAW, telah terzahir berbagai keajaiban dan mukjizat di seluruh alam. Bahkan sebelum kelahiran Baginda SAW, ibunya Sayidatina Aminah RA dikurniakan peristiwa-peristiwa yang luar biasa.

Al-Imam Ibn Hajar Al-Haitami berkata di dalam risalahnya:

وكان مولده ليلة الاثنين لاثنتى عشرة ليلة خلت من شهر ربيع الاول قد اظهر الله على يديه المعجزات الباهرات

"Dan kelahiran Baginda SAW pada malam Isnin, 12 malam bulan Rabiulawal. Sungguh Allah SWT menzahirkan ke atas kekuasaannya mukjizat yang hebat."

Al-Imam menukilkan pelbagai hadis-hadis berkenaan peristiwa-peristiwa yang luar biasa di dalam risalahnya samada sebelum sehinggalah kelahiran Baginda SAW:

ﻭمن عجائب ولادته ﷺ ما روى عن عائشة رضي الله عنها وعن ابيها انها قالت : كان يهودي قد سكن مكة فلما كانت الليلة التي ولد فيها النبي ﷺ قال : يا معشر قريش هل ولد فيكم الليلة مولود؟ قالوا : لا نعلم قال : انظروا فإنه ولد في هذه الليلة نبي هذه الأمة بين كتفيه علامة

Dan sebahagian keajaiban kelahiran Baginda SAW sebagaimana diriwayatkan daripada Sayidatina Aisyah RA dan daripada ayahnya, Sayidatina Aisyah RA berkata: "Terdapat seorang Yahudi tinggal di Makkah. Lalu apabila tiba malam yang dilahirkannya Nabi SAW, dia bertanya: “Wahai sekalian Quraish! Adakah telah lahir seorang bayi pada malam ini?” Mereka menjawab: “Kami tidak mengetahui.” Dia berkata: “Perhatikanlah kerana sesungguhnya telah dilahirkan pada malam ini seorang Nabi umat ini, di antara kedua tulang bahunya terdapat satu tanda."

فانصرفوا فسألوا فقيل لهم : قد ولد لعبد الله بن عبد المطلب غلام فذهب اليهودي معهم إلى أمه فأخرجته لهم فلما رأى اليهودي العلامة خر مغشيا عليه فلما افاق قال ذهبت النبوة من بني إسرائيل يا معشر قريش أما والله ليسطون بكم سطوة يخرج خبرها من المشرق والمغرب

"Lalu orang-orang Quraish berpergian dan mereka saling bertanya dan telah dikatakan kepada mereka: "Sungguh telah dilahirkan seorang anak lelaki dari Abdullah bin Abdul Mutallib." Maka orang Yahudi itu pergi bersama mereka dan tatkala melihat Sayidatina Aminah RA, lalu beliau membawa keluar Nabi SAW untuk mereka dan apabila orang Yahudi itu mendapati tanda itu, dia menjadi kecut tersungkur. Selepas dia sedar seraya berkata: "Telah lenyap kenabian dari Bani Israil. Wahai sekalian Quraish! Demi Allah! Dia benar-benar akan menguasai kamu dengan suatu kekuasaan yang sampai beritanya ke negeri timur dan barat."

Bahkan selepas kelahiran Baginda SAW, masyhur para ulama menceritakan banyak peristiwa besar yang berlaku seperti muncul gegaran kuat di istana Kisra, Parsi sehingga menyebabkan 14 anjung istana berkenaan runtuh serta keringnya Tasik Sawa yang sebelum itu dipenuhi air membolehkan kapal besar berlayar. Keagungan kelahiran Baginda SAW juga menyaksikan api sembahan kaum Majusi di Parsi yang dikatakan menyala sejak 1,000 tahun, terpadam dengan takdir Allah SWT.

Justeru itu, dengan kedatangan bulan Rabiulawal kali ini, marilah sama-sama kita menjiwai keagungan Nabi SAW yang mana Baginda SAW adalah sebaik-baik makhluk Allah SWT. Marilah perbanyakkan selawat serta puji-pujian kepada Baginda SAW di setiap keadaan dan urusan kita.