بسم الله الرحمن الرحيم

بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين

LAWATAN & ZIARAH: KEMBARA ILMIAH KUMPULAN WARGA EMAS ALOR SETAR

Pihak Masjid Jamek Bandar Baru UDA (MJBBU) telah menerima kunjungan dan lawatan dari rombongan Kembara Ilmiah dari Kumpulan Warga Emas Alor Setar pada Ahad yang lalu (29 September 2024). Lawatan ini adalah bertujuan menziarahi masjid ini dan mengambil tahu maklumat, pengurusan serta pentadbiran, fasiliti-fasiliti dan aktiviti-aktiviti di masjid dan sekaligus mengeratkan hubungan silaturrahim.

Lawatan yang bermula pada Ahad jam 12.00 tengah hari ini telah diadakan di Dewan Suliman MJBBU , telah tamat sehingga jam 3.00 petang dan telah berjalan dengan lancar. Majlis bermula sesi bergambar, disusuli dengan taklimat pengurusan Masjid Jamek Bandar Baru UDA (MJBBU). Pada sesi taklimat ini turut diselangi dengan soal jawab dari para pelawat berkaitan sumbangan di peringkat Masjid Jamek Bandar Baru UDA, proses perlantikan, penggajian dan pengurusan kakitangan masjid dan sebagainya.

Dalam sesi taklimat masjid, majlis bermula dengan ucapan pembukaan majlis oleh Pengacara Majlis, Bilal Muhammad Zulfikri Amin bin Zulkifli, diikuti bacaan doa oleh Ketua Imam MJBBU, Imam Haji Mohd Kamal bin Zakaria. Majlis diteruskan dengan taklimat yang disampaikan oleh Pengurus MJBBU, Haji Ab Rashid bin Bukhairah.

Majlis berhenti seketika bagi mendirikan solat Zohor berjemaah dan makan tengah hari. Majlis kemudian diteruskan dan diakhiri dengan penyampaian cenderamata dari pihak masjid oleh Timbalan Pengerusi MJBBU, Haji Rozan bin Mohd Saad kepada wakil dan ketua rombongan Kembara Ilmiah Kumpulan Warga Emas Alor Setar, Haji Zakaria bin Mat Zein dan kepada seluruh rombongan.

Pihak masjid mengalu-alukan kehadiran para pelawat bagi tujuan bersilaturrahim dan pengimarahan masjid ini. Semoga masjid ini menjadi pusat pengimarahan bagi keseluruhan masyarakat di dalam dan luar negara.

قال الله تعالى : إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَٰجِدَ ٱللَّهِ مَنْ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلآخِرِ وَأَقَامَ ٱلصَّلَٰوةَ وَءَاتَىٰ ٱلزَّكَٰوةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلاَّ ٱللَّهَ فَعَسَىٰ أُوْلَـٰئِكَ أَن يَكُونُواْ مِنَ ٱلْمُهْتَدِينَ

Firman Allah SWT : "Hanyasanya yang layak memakmurkan masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan solat dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk."

قال الحسن : مهور الحور العين كنس المساجد وعمارتها (روح البيان 3/421)

Al-Imam Al-Hasan berkata : "Mahar (maskahwin) bidadari-bidadari syurga ialah membersihkan masjid-masjid dan mengimarahkannya."