بسم الله الرحمن الرحيم

بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL SAW SEMPENA HARI ULANG TAHUN SPRM KE-57

Alhamdulillah, telah selesai Program Maulidur Rasul SAW Sempena Hari Ulang Tahun SPRM ke-57 di Masjid Jamek Bandar Baru UDA dan program tersebut adalah anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Johor dengan kerjasama Masjid Jamek Bandar Baru UDA (MJBBU). Program yang telah diadakan semalam (20 Oktober 2024), bermula selepas Maghrib telah mendapat sambutan yang meriah dikalangan para jemaah dan masyarakat sekitar Bandar Baru Uda dan Johor Bahru.

Program Maulidur Rasul ini bermula selepas Solat Maghrib berjemaah dengan ucapan aluan dan doa oleh pegawai SPRM dan diteruskan dengan Ceramah Khas bertajuk "Rezeki Barakah, Tanpa Rasuah" yang telah disampaikan oleh As Sheikh Tuan Haji Makhadzir bin Abdan Al-Hafiz, Imam Besar Negeri Johor.

As Sheikh Tuan Haji Makhadzir menerangkan di dalam ceramahnya keutamaan rezeki yang berkat. Disamping menggapai pekerjaan yang halal, hendaklah seseorang memberi nafkah yang setimpal kepada ahli keluarga yang memerlukan. As Sheikh turut memberikan nasihat agar melazimi kehidupan kita dengan selawat, bersempena dengan majlis Maulidur Rasul ini kerana tercapainya hajat dengan selawat kepada Baginda SAW.

Para jemaah boleh ikuti ceramah tersebut di pautan berikut:
https://www.facebook.com/mjbbUDA/videos/1243869246854906

Selepas azan Isyak, program diteruskan dengan ucapan Pengarah SPRM Negeri Johor oleh YBhg. Dato' Haji Azmi Bin Haji Alias dan disusuli dengan penyampaian cenderahati oleh Pengarah SPRM kepada Pengerusi MJBBU, Ustaz Haji Md Burhanuddin bin Haji Tibek dan penceramah, As-Sheikh Tuan Haji Makhadzir bin Abdan Al-Hafiz. Program diakhiri dengan jamuan selepas Solat Isyak berjemaah yang telah dipimpin oleh Imam Besar Negeri Johor sendiri.

Pihak masjid mengucapkan jutaan terima kasih dan tahniah kepada para jemaah di atas kehadiran dan penyertaan di dalam majlis yang mulia ini. Semoga dengan penglibatan ini, para hadirin dapat menambahkan kesedaran, ilmu pengetahuan dan memupukkan rasa kasih sayang kepada junjungan mulia Nabi Muhammad SAW.

وقال الامام الشافعي : من جمع لمولد النبي ﷺ إخوانا وهيأ طعاما وأخلى مكانا وعمل احسانا وصار سببا لقراءته بعثه الله يوم القيامة مع الصديقين والشهداء والصالحين ويكون في جنات النعيم (النعمة الكبرى على العالم)

Al-Imam Al-Syafie berkata: "Barangsiapa mengumpulkan saudara-saudaranya, mempersiapkan makanan, menghiasai tempat dan melakukan kebaikan untuk Maulid Al-Nabi SAW dan itu menjadi sebab bagi bacaan Al-Maulid nescaya Allah SWT akan membangkitkannya pada hari kiamat bersama para Al-Siddiqin, para Al-Syuhada dan para Al-Solihin di dalam syurga-syurga Al-Naim."