بسم الله الرحمن الرحيم

بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين

LAWATAN & ZIARAH: DELEGASI MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA (MUIS)

Pihak Masjid Jamek Bandar Baru Uda (MJBBU) telah menerima kunjungan dan lawatan dari rombongan Delegasi Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) pada Rabu yang lalu (23 Oktober 2024). Tujuan lawatan dan ziarahi masjid ini ialah untuk mengambil tahu maklumat pengurusan serta pentadbiran, fasiliti-fasiliti dan aktiviti-aktiviti di bawah masjid termasuklah mengenai Yayasan, Koperasi dan Pusat Dialisis & Kesihatan (PDK) Masjid Jamek Bandar Baru UDA dan sekaligus mengeratkan hubungan silaturahim.

Lawatan ini yang bermula pada jam 8.30 pagi telah diadakan di Dewan Suliman MJBBU dan ianya telah berjalan dengan lancar. Program bermula dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Imam MJBBU, Imam Mohd Shaiful bin Mohd Esa dan diteruskan dengan sesi pengenalan oleh Pengerusi MJBBU, Ustaz Haji Md Burhanuddin bin Haji Tibek, Setiausaha Yayasan Masjid Jamek Bandar Baru UDA (YMJBBU), Tuan Haji Hussein bin Ismail dan Penguasa Daerah masjid Barat Singapura, Ustaz Dr. Suhaimi Mustar.

Program diteruskan lagi dengan sesi taklimat berkenaan masjid ini dan dimulakan dengan tayangan video montaj Masjid Jamek Bandar Baru UDA (MJBBU) dan diteruskan dengan pembentangan maklumat Yayasan Masjid Jamek Bandar Baru UDA oleh Tuan Haji Hussein bin Ismail. Program diselangi dengan soal jawab di antara para delegasi dengan Pengerusi MJBBU dan Setiausaha YMJBBU berkenaan aktiviti pengimarahan, jawatan imam, aktiviti kemasyarakatan, penjanaan ekonomi di peringkat MJBBU dan YMJBBU, pengoperasian Pusat Dialisis & Kesihatan MBBU (PDKMBBU) serta Pusat Fisioterapi D Aliff dan sebagainya.

Program diteruskan dengan aktiviti ziarah dan melawat pesakit dan tapak rawatan Pusat Dialisis & Kesihatan Masjid Bandar Baru UDA (PDKMBBU) dan diakhiri dengan menjamu selera dan sesi bergambar.

Pihak masjid mengalu-alukan kehadiran para pelawat bagi tujuan berkenalan dan pengimarahan masjid ini. Semoga masjid ini menjadi pusat pengimarahan bagi keseluruhan masyarakat di dalam dan luar negara.

قال رسول الله ﷺ : أحب البلاد إلى الله مساجدها

Rasulullah SAW bersabda: "Negeri (tempat) yang paling dicintai oleh Allah SWT adalah masjid-masjidnya."

قال الإمام النووي : أحب البلاد إلى الله مساجدها لأنها بيوت الطاعات وأساسها على التقوى (شرح صحيح مسلم النووي 5/171)

Al-Imam Al-Nawawi RHM berkata: "Negeri (tempat) yang paling disukai Allah SWT ialah masjid-masjidNya kerana ia adalah tempat (yang dilakukan) ketaatan dan asasnya di atas ketakwaan."