بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين
KURSUS ASAS HAJI (KAH) 1446H DI MJBBU
Alhamdulillah telah bermula siri 1 bagi Kursus Asas Haji (KAH) anjuran Tabung Haji (TH) dengan kerjasama Masjid Jamek Bandar Baru UDA (MJBBU) bagi musim haji 1446H/2025 di Dewan Solat Utama MJBBU pada Rabu yang lalu (23 Oktober 2024). Kursus ini mendapat sambutan yang baik dikalangan jemaah kariah MJBBU dan sekitar khususnya bagi jemaah yang bakal melaksanakan ibadah haji bagi tahun 1446H ini.
Kursus ini merupakan kursus tahunan dan bagi sesi kali ini akan berjalan sebanyak 13 siri pada setiap Rabu, selepas Isyak, bermula 23 Oktober 2024 sehingga 15 Januari 2025. Bagi siri pertama ini disampaikan oleh Ustaz Haji Ismail bin Mat Ali selaku PEKTA TH dan pengkursus kedua ialah Ustaz Haji Mohd Hambali bin Abd Rahman. Untuk kursus kali ini, TH dan MJBBU akan menyiarkan kursus secara langsung di Facebook Masjid Jamek Bandar Baru UDA sebagai alat ulangkaji 13 kursus KAH ini dan para jemaah lain turut boleh mendapatkan manfaat dari siaran langsung tersebut.
Seramai 330 peserta telah hadir bagi siri pertama ini dan siri kedua akan dilaksanakan pada Rabu ini, 29 Oktober 2024. Pihak masjid mengucapkan ribuan tahniah kepada para peserta kerana menyertai dan mengimarahkan masjid ini seterusnya istiqamah berada di dalam majlis ilmu.
قال العلامة أبي بكر البكري : واعلم أن فضائله لا تحصي
Al-Imam Al-Allamah Abi Bakr Al-Bakri: "Dan ketahuilah bahawa fadilat-fadilat ibadah haji tidak terkira."
وروى ابن حبان عن ابن عمر أن النبي صل قال : إن الحاج حين يخرج من بيته لم يخط خطوة الا كتب الله له بها حسنة وحط عنه بها خطيئة فاذا وقفوا بعرفات : باهى الله بهم ملائكته، يقول : انظروا الى عبادي، أتوني شعثا غبرا أشهدكم أني غفرت لهم ذنوبهم وإن كانت عدد قطر السماء ورمل عالج (إعانة الطالبين 2/459)
Diriwayatkan dari Al-Imam Ibn Hibban, dari Ibn Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya orang yang haji ketika keluar dari rumahnya, dia tidak melangkah satu langkah kecuali Allah mencatat baginya satu kebaikan dan meleburkan darinya dengan langkah itu, satu keburukan. Lalu apabila dia berwuquf di Arafah, Allah berbangga dihadapan para malaikat, Dia berfirman: "Lihatlah para hambaKu, mereka datang padaKu dengan pakaian sederhana dan berdebu. Aku bersaksi pada kamu (malaikat) bahawa Aku telah mengampunkan dosa-dosa mereka dan walau dosanya bagaikan titisan air hujan dan butiran pasir."