بسم الله الرحمن الرحيم

بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين

PROGRAM BULAN SUKAN MJBBU: BADMINTON & PINGPONG

Masjid Jamek Bandar Baru UDA (MJBBU) telah mengadakan program Bulan Sukan MJBBU semalam (09 November 2024). Pertandingan sukan yang ke-3 dan ke-4 kali ini adalah sukan Badminton dan Pingpong, khusus buat muslimin.

Pertandingan sukan ini adalah semata-mata mengeratkan silaturahim bersama ahli kariah BBU, disamping menekankan aktiviti bermanfaat selain kuliah-kuliah ilmiah dan aktiviti-aktiviti zikrullah serta munajat di masjid.

Pertandingan sukan Badminton dan Pingpong muslimin ini diadakan di Dewan Jubli Perak BBU, bermula jam 8.30 pagi dengan penyertaan seramai 48 orang yang terdiri daripada para jemaah dan ahli kariah MJBBU serta masyarakat sekitar Bandar Baru UDA. Aktiviti sukan Pingpong dengan penyertaan seramai 10 peserta telah berakhir pada jam 10.30 pagi manakala sukan Badminton seramai 38 peserta telah berakhir pada jam 3.00 petang. Para peserta turut diberikan cenderamata beserta sijil penyertaan dan bagi yang memenangi tempat Johan, Naib Johan dan ketiga, diberikan saguhati trofi dan pingat serta hadiah wang tunai.

Pihak masjid mengucapkan ribuan terima kasih di atas penyertaan para peserta di dalam program sukan kali ini. Pihak masjid turut merancang pelbagai lagi sukan-sukan lain yang akan dimaklumkan kelak.

Semoga penyertaan ahli kariah BBU dan jemaah MJBBU dapat mengeratkan silaturahim dikalangan kita dan terlebih utama, menyihatkan jasmani dan rohani sehingga bersungguh kita dalam menjadi hambaNya yang bersyukur di atas nikmatNya dan bertakwa.

قال رسول الله ﷺ : نعمتان مغبون فيهما كثير من الناس الصحة والفراغ

Rasulullah SAW bersabda: "Dua nikmat yang tertipu pada keduanya oleh kebanyakkan manusia; nikmat kesihatan dan waktu yang lapang."

قال ابن بطال : معنى الحديث أن المرء لا يكون فارغا حتى يكون مكفيا صحيح البدن فمن حصل له ذلك فليحرص على أن لا يغبن بأن يترك شكر الله على ما أنعم به عليه ومن شكره امتثال أوامره واجتناب نواهيه (فتح الباري شرح صحيح البخاري 14/183)

Ibn Battal berkata: "Maksud hadis ialah bahawa seseorang tidak (dikatakan) memiliki waktu yang lapang sehinggalah dia juga memiliki badan yang sihat. Lalu barangsiapa memperoleh baginya akan yang demikian itu, maka hendaklah dia berusaha keras agar tidak tertipu dengan meninggalkan syukur kepada Allah di atas segala nikmat yang diberikanNya kepadanya. Dan dari sebahagian syukur kepada Allah itu adalah melaksanakan segala perintahNya dan menghindari segala laranganNya."