بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين
LAWATAN & ZIARAH: SURAU AN-NUR, PUSAT LATIHAN TEKNOLOGI TINGGI (ADTEC) BATU PAHAT
Pihak Masjid Jamek Bandar Baru UDA (MJBBU) telah menerima kunjungan dan lawatan dari Ahli Jawatankuasa Surau An-Nur, Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Batu Pahat semalam (27 November 2024). Lawatan yang bertujuan untuk menziarahi masjid ini dan mengambil tahu maklumat pengurusan serta pentadbiran, fasiliti-fasiliti dan aktiviti-aktiviti di masjid dan sekaligus mengeratkan hubungan silaturrahim.
Lawatan yang bermula pada jam 10.00 pagi ini telah diadakan di Dewan Suliman MJBBU sehingga jam 12.40 tengah hari dan telah berjalan dengan lancar. Majlis bermula dengan sesi bergambar, disusuli dengan melewati Gerbang Infaq MJBBU, sarapan ringan dan taklimat pengurusan Masjid Jamek Bandar Baru UDA (MJBBU). Dalam sesi taklimat melalui tayangan montaj masjid, turut disertai dengan soal jawab dari para pelawat berkaitan pengurusan tabung masjid, aktiviti-aktiviti pendidikan dan pengimarahan, tarikan anak muda ke masjid dan sebagainya.
Dalam sesi taklimat masjid, majlis bermula dengan ucapan pembukaan majlis oleh Pengacara Majlis, Bilal Mohamad Khairulanuar bin Mohamadun, diikuti bacaan doa oleh Ketua Imam MJBBU, Imam Haji Mohd Kamal bin Zakaria. Majlis diteruskan ucapan Pengurus MJBBU, Tuan Haji Ab Rashid bin Bukhairah dan Pengerusi Surau An-Nur ADTEC, Tuan Noorajla bin Abd Jalil.
Majlis diteruskan dengan tayangan montaj masjid dan disertai soal jawab di antara pelawat kepada wakil masjid serta sesi penyerahan cenderamata dari pihak masjid kepada ADTEC dan sebaliknya. Kemudian lawatan diteruskan dengan pelawat melihat suasana dan fasiliti masjid, kemudahan yang disediakan serta program dan aktiviti dhuha yang sedang dilaksanakan. Lawatan diakhiri dengan jamuan sebelum bersurai.
Pihak masjid mengalu-alukan kehadiran para pelawat bagi tujuan bersilaturrahim dan pengimarahan masjid ini. Semoga masjid ini menjadi pusat pengimarahan bagi keseluruhan masyarakat di dalam dan luar negara.
قال الله تعالى : إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَٰجِدَ ٱللَّهِ مَنْ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلآخِرِ وَأَقَامَ ٱلصَّلَٰوةَ وَءَاتَىٰ ٱلزَّكَٰوةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلاَّ ٱللَّهَ فَعَسَىٰ أُوْلَـٰئِكَ أَن يَكُونُواْ مِنَ ٱلْمُهْتَدِينَ
Allah SWT berfirman : "Hanyasanya yang layak memakmurkan masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan solat dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk."
قال الحسن : مهور الحور العين كنس المساجد وعمارتها (روح البيان 3/421)
Al-Imam Al-Hasan berkata : "Mahar (maskahwin) bidadari-bidadari syurga ialah membersihkan masjid-masjid dan mengimarahkannya."