بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين
MAJLIS SOLAT HAJAT PERDANA SEMPENA PEPERIKSAAN AWAM NEGERI JOHOR 2024
Masjid Jamek Bandar Baru UDA dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru (PPDJB) dan Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti & Sektor Swasta (PIBKS) Negeri Johor, telah mengadakan Majlis Solat Hajat Perdana Sempena Peperiksaan Awam Negeri Johor 2024.
Majlis yang diadakan pada Khamis (12 Disember 2024) yang lalu, bermula selepas Maghrib telah berjalan dengan lancar dengan kehadiran seramai 2000 orang dari jemaah Bandar Baru UDA, pelajar-pelajar sekolah dan lain-lain.
Majlis dilaksanakan bagi memohon hajat dan doa agar dikurniakan kecemerlangan dan kejayaan kepada pelajar-pelajar yang akan dan yang telah menduduki peperiksaan PT3, SPM, STAM dan STPM khususnya di Johor.
Majlis bermula dengan ucapan alu-aluan dari pegawai JPNJ dan diteruskan dengan bacaan Yasin dan Tahlil yang dipimpin oleh Ketua Imam MJBBU, Imam Haji Mohd Kamal bin Zakaria dan Bilal 3 MJBBU, Bilal Muhammad Hazim Zaim bin Dandan. Majlis diteruskan dengan Solat Isyak berjemaah, diikuti Solat Hajat berjemaah dan diakhiri dengan jamuan di ruang aras 1 MJBBU.
Pihak masjid mengucapkan jutaan terima kasih di atas kehadiran para jemaah dan masyarakat setempat ke Majlis Solat Hajat Perdana anjuran JPNJ, PPDJB, PIBKS dan Masjid Jamek Bandar Baru UDA kali ini dan secara tidak langsung mengimarahkan masjid ini. Semoga segala hajat yang dipinta diperkenankan oleh Allah SWT.
روينا في كتاب الترمذي وابن ماجه عن عبد الله بن ابي اوفى رضي الله عنهما قال : قال رسول الله ﷺ : من كانت له حاجة الى الله تعالى او الى احد من بني ادم فليتوضا وليحسن الوضوء ثم ليصل ركعتين، ثم ليثن على الله عز وجل وليصل على النبي ﷺ ثم ليقل : لا اله الا الله الحليم الكريم سبحان الله رب العرش العظيم الحمد لله رب العالمين اسالك موجبات رحمتك وعزائم مغفرتك والغنيمة من كل بر والسلامة من كل اثم لا تدع لي ذنبا الا غفرته ولا هما الا فرجته ولا حاجة هي لك رضا الا قضيتها يا ارحم الراحمين (الأذكار 156)
"Telah kami riwayatkan dalam kitab Al-Imam Al-Tirmizi dan Ibn Majah, dari Abdillah bin Abi Aufa RA, beliau berkata: "Sabda Rasulullah SAW: Barangsiapa baginya suatu hajat kepada Allah SWT atau kepada seseorang, maka hendaklah dia berwuduk dengan wuduk yang baik. Kemudian hendaklah dia mendirikan sembahyang dua (2) rakaat. Kemudian hendaklah dia memuji ke atas Allah SWT dan berselawat ke atas Nabi SAW. Kemudian dia berdoa: Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah Al-Halim Al-Karim. Maha suci Allah, Tuhan Al-Arsh Al-Azim. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Aku memohon kepadaMu rahmatMu, keampunanMu, kemenangan dari setiap kebaikan dan keselamatan dari setiap dosa. Janganlah Engkau membiarkanku berdosa melainkan Engkau telah mengampuninya (dosa), tiadalah kesukaran melainkan Engkau menunjuki jalan keluarnya (dari kesukaran) dan tiadalah hajat yang Engkau redai melainkan Engkau menunaikannya, wahai yang Maha Al-Rahman Al-Rahim."