بسم الله الرحمن الرحيم

بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين

MAJLIS KHATAM AL-QURAN PERDANA MJBBU 2024

Alhamdulillah, telah selesai Majlis Khatam Al-Quran Perdana MJBBU 2024 dan majlis ini telah diadakan pada Sabtu lalu (14 Disember 2024). Majlis ini telah mendapat sambutan yang baik dari jemaah masjid serta masyarakat sekitar dan telah berjalan dengan lancar dengan penyertaan seramai 700 orang dari lelaki, wanita dan pelajar-pelajar sekolah, madrasah dan lain-lain.

Majlis ini diadakan bagi melazimkan jemaah kariah dengan program bacaan Al-Quran dan khatam Al-Quran secara tahunan serta meraikan pengkhataman Al-Quran oleh kumpulan-kumpulan tadarus muslimat serta pelajar-pelajar sekolah di Bandar Baru UDA.

Majlis telah bermula pada jam 9.15 pagi dengan pembuka kata oleh Pengerusi Majlis oleh Imam Mohd Shaiful bin Mohd Esa, diikuti bacaan doa oleh Imam Muhammad Hakimin bin Mohd Fazarin serta diteruskan dengan ucapan Pengerusi MJBBU, Ustaz Haji Md Burhanuddin bin Haji Tibek.

Majlis diteruskan dengan penerangan kaifiyat tadarus dan pengkhataman Al-Quran oleh Ketua Imam MJBBU, Imam Haji Mohd Kamal bin Zakaria. Kemudian para peserta memulakan sesi tadarus dan bacaan Al-Quran melalui pembahagian muka surat oleh kesemua peserta yang hadir serta sesi pengkhataman Al-Quran dan ditutupi dengan bacaan doa khatam Al-Quran oleh Imam Ibrahim Adham Afif bin Ismail.

Bagi kemuncak program, majlis diteruskan lagi dengan program Mini Halaqah bersama qari jemputan, Qari Muhammad Nabil Fahmi bin Yusuf dan pentadabbur, Ustaz Haji Mohd Hambali bin Abd Rahman, yang mentadabburkan Surah Al-Kahfi dan tanda besar kiamat, Dajjal. Para jemaah boleh ikuti rakaman siaran langsung majlis khatam dan program mini halaqah ini di Facebook Masjid Jamek Bandar Baru UDA.

Majlis diakhiri dengan penyampaian saguhati kepada qari dan penceramah jemputan serta agihan bungkusan jamuan kepada semua peserta yang hadir.

Pihak masjid mengucapkan jutaan terima kasih kepada para jemaah di atas penyertaan dan seterusnya membantu melancarkan majlis ini dengan jayanya serta mengimarahkan masjid. Semoga dengan diadakan majlis ini, para peserta dapat menjiwai kehidupan yang melazimi Al-Quran dan ilmu pengetahuan tentang Al-Quran.

قال الإمام النووي رحمه الله: يستحب حضور مجلس ختم القرآن استحبابا متأكدا

Al-Imam Al-Nawawi berkata: "Sunat menghadiri majlis pengkhataman Al-Quran dengan sunat muakkad (sangat dianjurkan)."

وروى الدارمي وأبو داود بإسنادهما عن ابن عباس رضي الله عنهما أنه كان يجعل رجلاً يراقب رجلاً يقرأ القرآن فإذا أراد أن يختم أعلم ابن عباس فيشهد ذلك (التبيان 159)

"Dan diriwayatkan oleh Al-Darimi dan Abu Daud dengan sanad kedua-duanya dari Ibn Abbas RA, bahawasanya beliau menjadikan seseorang memperhatikan seorang yang membaca Al-Quran. Apabila dia akan mengkhatamkan Al-Quran, hendaklah orang tersebut memberitahu Ibn Abbas sehingga beliau dapat menyaksikan khatam tersebut."