بسم الله الرحمن الرحيم

بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين

MALAM-MALAM MUSTAJAB DOA: MALAM AWAL REJAB (31 DISEMBER 2024)

Kedatangan bulan Rejab adalah tanda kedatangan bulan-bulan ibadat. Ini kerana bulan Rejab di antara bulan-bulan agung disisi Allah SWT. Bahkan ia adalah pemula bagi bulan keberkatan.

Al-Imam Ibn Rajab Al-Hanbali berkata:

شهر رجب مفتاح أشهر الخير والبركة

"Bulan Rejab adalah kunci kepada bulan-bulan yang penuh kebaikan dan keberkatan."

Bulan ini juga merupakan permulaan musim ibadat sehinggalah kedatangan bulan Ramadan Al Mubarak. Bahkan diibaratkan sebagai pemula bagi penanaman amal kebaikan hingga mengeluarkannya di bulan penuh berkat.

وقال بعضهم : السنة مثل الشجرة وشهر رجب أيام توريقها وشعبان أيام تفريعها ورمضان أيام قطفها والمؤمنون قطافها

"Dan telah berkata sebahagian ulama: "Satu tahun seumpama pokok, bulan Rejab pula adalah hari-hari ia mengeluarkan daunnya, bulan Syaaban pula adalah hari-hari ia menghasilkan buah dan bulan Ramadan pula adalah hari-hari buah dipetik, dan orang beriman adalah pemetik buah-buahan itu."

Bulan Rejab juga merupakan bulan Haram Allah SWT sehinggakan pahala dan dosa pada bulan ini dilipatgandakan, bahkan dianjurkan untuk berpuasa sunat di bulan ini. Tambahan lagi, di antara kemuliaan dengan kedatangan bulan Rejab ini ialah kehadiran awal bulan Rejab dan umat Islam dianjurkan untuk banyakkan beramal pada malam tersebut kerana pada malam itu, doa adalah mustajab.

Al Imam Al Syafie berkata:

بلغنا ان الدعاء يستجاب في خمس ليال ليلة الجمعة والعيدين واول رجب ونصف شعبان واستحب كل ما حكيت في هذه ليالي

"Telah sampai kepada kami bahawa doa dimakbulkan dalam lima malam iaitu; malam Jumaat, 2 malam hari raya, malam awal Rejab dan malam Nisfu Syaaban. Dan aku menganjurkan semua (ibadat) yang diriwayatkan di malam-malam ini."

Oleh itu, marilah sama-sama kita memohon kepada Allah SWT agar dikurniakan taufik dan hidayah agar dapat meningkatkan amal ibadah pada bulan Rejab ini. Lebih khusus, bermula awal Rejab ini, dimakbulkan segala hajat dan keinginan kita oleh Allah SWT.