بسم الله الرحمن الرحيم

بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين

BULAN-BULAN IBADAT & BERKAT: REJAB 1446H

Ketibaan bulan Rejab menandakan bahawa bulan Syaaban dan kemudiannya bulan Ramadan Al-Karim yang dinanti-nantikan semua umat Islam di seluruh dunia begitu hampir sekali. Bulan-bulan tersebut merupakan bulan-bulan yang diberkati bagi umat Islam dan bulan Rejab adalah pembuka bagi musim ibadat ini.

Al-Imam Al-Hafiz Ibn Rajab Al-Hanbali berkata:

شهر رجب مفتاح أشهر الخير والبركة

"Bulan Rejab adalah kunci kepada bulan-bulan yang penuh kebaikan dan keberkatan."

قال أبو بكر الوراق البلخي : شهر رجب شهر للزرع وشعبان شهر السقي للزرع ورمضان شهر حصاد الزرع

Al-Imam Abu Bakr Al-Warraq Al-Balkhi berkata: "Bulan Rejab adalah bulan bagi penanaman, bulan Syaaban adalah bulan pengairan bagi tanaman dan bulan Ramadan adalah bulan tuaian hasil tanaman."

وقال بعضهم : السنة مثل الشجرة وشهر رجب أيام توريقها وشعبان أيام تفريعها ورمضان أيام قطفها والمؤمنون قطافها

"Dan telah berkata sebahagian ulama: "Satu tahun seumpama pokok, bulan Rejab pula adalah hari-hari ia mengeluarkan daunnya, bulan Syaaban pula adalah hari-hari ia menghasilkan buah dan bulan Ramadan pula adalah hari-hari buah dipetik, dan orang beriman adalah pemetik buah-buahan itu."

Justeru para ulama menganjurkan kita untuk memperbanyakkan ibadat serta memohon keampunan dan melaksanakan taubat di dalam bulan-bulan ini. Lebih khusus ialah di bulan Rejab kerana pemula bagi bulan-bulan ibadat.

Al-Imam Al-Hafiz Ibn Rajab Al-Hanbali berkata:

جدير بمن سود صحيفته بالذنوب أن يبيضها بالتوبة في هذا الشهر وبمن ضيع عمره في البطالة أن يغتنم فيه ما بقي من العمر

"Adalah patut bagi sesiapa yang telah menghitamkan catatan amalnya dengan dosa-dosa untuk memutihkannya dengan taubat pada bulan (Rejab) ini dan bagi sesiapa yang telah mensia-siakan umurnya di dalam kemalasan dari amal soleh untuk merebut peluang ibadat di dalam bulan (Rejab) ini dengan apa yang masih berbaki dari sisa umurnya."

Bahkan pada bulan Rejab juga para ulama melazimi ibadat puasa sepanjang bulan. Tambahan lagi kerana bulan Rejab termasuk di antara bulan-bulan Haram yang dimuliakan Allah SWT, dilipatgandakan pahala amal soleh dan dosa kezaliman dan kemaksiatan.

Al-Imam berkata lagi:

وقد كان بعض السلف يصوم الأشهر الحرم كلها منهم ابن عمر والحسن البصري وأبو إسحاق السبيعي

"Dan sesungguhnya sebahagian para Salaf berpuasa pada bulan-bulan Haram sepenuhnya. Di antara mereka adalah Ibn Umar, Al-Hasan Al-Basri dan Abu Ishaq Al-Subay'i."

Oleh itu, marilah sama-sama kita mempertingkatkan amal ibadah di bulan-bulan Haram yang penuh berkat ini khususnya di bulan Rejab ini dan membuat persiapan bagi menyambut bulan Ramadan Al-Karim 1446H. Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan dan istiqamah kepada kita untuk melazimi amal ibadat dan menjauhi segala kemaksiatan dan kezaliman.