بسم الله الرحمن الرحيم

بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين

PENSYARIATAN SOLAT DI MALAM ISRAK & MIKRAJ

Peristiwa Israk dan Mikraj ke atas Rasulullah SAW adalah perkara besar yang berlaku di dalam bulan Haram, Rejab. Baginda SAW telah diberi kemuliaan dan mukjizat melalui peristiwa ini.

Pada malam tersebut, Baginda SAW telah dibawa berjalan dengan menggunakan Buraq, dari Masjidil Haram di Kota Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitulmuqaddis, Palestin serta dibawa ke Sidratul Muntaha untuk mengadap Allah SWT dan perjalanan tersebut hanya di dalam satu malam.

Allah SWT berfirman:

سُبْحَانَ الَّذِى أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأَقْصَى الَّذِى بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إنَّهُ هُو السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

"Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Nabi Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda Kami. Sesungguhnya Dia yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."

Di antara anugerah yang agung ke atas umat Islam pada malam itu ialah Baginda SAW menerima perintah solat oleh Allah SWT sebanyak lima puluh (50) solat bagi setiap hari dan malam. Baginda SAW kemudiannya meminta keringanan dari Allah SWT sehingga menjadi lima (5) dan makbulnya permintaan Rasulullah SAW oleh Allah SWT ini tidak lain kerana menzahirkan kemuliaan Baginda SAW melalui syafaatnya SAW dan ia di atas ilmuNya yang azali pada menetapkan lima (5) waktu solat jua.

Al-Imam Zainuddin Al-Malibari menyatakan:

وفرضت ليلة الاسراء بعد النبوة بعشر سنين وثلاثة أشهر، ليلة سبع وعشرين من رجب، ولم تجب صبح يوم تلك الليلة لعدم العلم بكيفيتها

"Dan telah difardukan solat yang lima (5) pada malam Israk selepas sepuluh (10) tahun dan tiga (3) bulan kenabian, pada malam ke-27 dari bulan Rejab. Dan tidaklah diwajibkan solat Subuh pada malam tersebut kerana tiada ketahui akan kaifiyatnya."

Al-Imam Abu Bakar Al-Bakri menghuraikan:

وذلك لخبر الصحيحين : فرض الله على أمتي ليلة الاسراء خمسين صلاة، فلم أزل أراجعه وأسأله التخفيف حتى جعلها خمسا في كل يوم وليلة

"Dan demikian kerana riwayat hadis Al-Sahihain : "Allah SWT telah mewajibkan ke atas umatku lima puluh (50) solat pada malam Israk. Lalu aku berulang-ulang menghadap Allah SWT dan meminta keringanan sehingga menjadi lima (5) pada setiap hari dan malam."

Pelbagai hikmah di atas pensyariatan ini di malam agung tersebut. Antaranya adalah kerana Rasulullah SAW telah disucikan dan dihiaskan dengan cahaya keimanan sebelum menerima perintah kewajipannya. Bahkan tiada pensyariatan solat sebelum peristiwa Israk Wal Mikraj melainkan yang telah diperintah ke atas Baginda SAW seperti solat dua (2) rakaat di siang hari dan malam serta solat Qiamullail dari syariat amaliah para Anbiya terdahulu.

Di antara hikmah lain pula, Al-Imam menghuraikan:

والحكمة في كون المكتوبات سبع عشرة ركعة أن زمن اليقظة من اليوم والليلة سبع عشرة ساعة غالبا، اثنا عشر في النهار، ونحو ثلاث ساعات من الغروب، وساعتين من قبيل الفجر، فجعل لكل ساعة ركعة جبرا لما يقع فيها من التقصير

"Dan hikmah dari solat-solat yang difardukan sejumlah tujuh belas (17) rakaat adalah bahawa waktu terjaga itu dari satu hari satu malam ada tujuh belas jam secara ghalibnya. Dua belas (12) jam di waktu siang, tiga (3) jam setelah terbenam matahari dan dua (2) jam tepat sebelum Subuh. Maka dijadikan bagi setiap jam, satu rakaat kerana menutupi sesuatu yang terjadi dalam waktu itu dari kekurangan (kelalaian)."

Justeru marilah kita menghayati peristiwa pensyariatan rukun Islam kedua ini agar kita dapat mengabdikan diri, mengukuhkan iman dan menanam cinta kepada Allah SWT dan RasulNya SAW yang mulia. Tambahan lagi, kita turut dianjurkan untuk berpuasa pada hari Israk Wal Mikraj tersebut, selain dari puasa bulan Haram, Rejab.

Al-Imam menyatakan:

ويستحب صوم يوم المعراج ويوم لا يجد فيه الشخص ما يأكله

"Dan disunatkan berpuasa pada hari Mikraj dan hari di mana seseorang itu tidak mempunyai makanan untuk dimakan."

Semoga kita dapat istiqamah menunaikan ibadat khususnya di dalam bulan Haram dan bulan-bulan ibadat ini iaitu Rejab, kemudiannya Syaaban dan Ramadan dan semoga Allah SWT menerima ibadat yang kita telah lakukan sepanjang di bulan ini.