بسم الله الرحمن الرحيم

بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين

MAJLIS SAMBUTAN ISRAK WAL MIKRAJ 1446H DI MJBBU

Masjid Jamek Bandar Baru Uda (MJBBU) telah mengadakan Majlis Sambutan Israk Wal Mikraj 1446H bersempena peristiwa Israk dan Mikraj semalam (26 Januari 2025). Program ini telah diadakan di Dewan Solat Utama MJBBU dan mendapat sambutan yang baik di kalangan jemaah MJBBU dan masyarakat sekitar.

Program ini telah bermula dengan majlis zikir pimpinan para imam dan bilal MJBBU pada 6.30 petang. Majlis zikir ini dimulai dengan bacaan Al-Mathurat oleh Ketua Imam MJBBU, Imam Haji Mohd Kamal bin Zakaria, diteruskan bacaan Zikir Rejab beserta doa Istighfar Rejab yang dipimpin oleh Bilal Mohamad Khairulanuar bin Mohamadun dan Imam Muhammad Hakimin bin Mohd Fazrin.

Majlis diteruskan dengan bacaan tarannum Surah Al-Isra yang dibacakan oleh jemputan khas MJBBU, Qari Mohamad Fikry bin Mohammad Fahmi dan diakhiri dengan bacaan Zikir Munajat oleh Bilal Muhammad Zulfikri Amin bin Zulkifli. Sepanjang program berlangsung, laungan azan turut dipimpin oleh Qari Mohamad Fikry bin Mohammad Fahmi.

Seusai Solat Maghrib berjemaah, majlis diteruskan dengan aktiviti kemuncak iaitu Ceramah Perdana Israk Wal Mikraj yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Fairuz bin Aliakbar, Pendakwah Bebas dan Mudir Pondok Al-Bushro Sedili. Program diakhiri dengan Solat Isyak berjemaah serta jamuan.

Para jemaah yang ingin mengikuti bacaan-bacaan zikir, tarannumn munajat dan ceramah tersebut boleh ikuti pautan berikut:
???? Majlis Bacaan Zikir, Tarannum & Munajat Israk Wal Mikraj: https://www.facebook.com/mjbbUDA/videos/540281162388190/?app=fbl
???? Ceramah Perdana Israk Wal Mikraj: https://www.facebook.com/mjbbUDA/videos/2470823019933529

Pihak masjid mengucapkan jutaan tahniah di atas kehadiran para jemaah ke Majlis Sambutan Israk Wal Mikraj 1446H kali ini, sekaligus mengimarahkan masjid. Semoga Allah SWT memakbulkan amal zikir kita dan kehadiran kita di majlis ilmu di bulan Haram yang mulia ini.

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِّنَ المَسْجِدِ الحَرَامِ إِلَى المَسْجِدِ الأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

"Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Nabi Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."

قال الإمام علاء الدين الخازن : وقيل سماه مباركاً لأنه مقر الأنبياء ومهبط الملائكة والوحي وقبلة الأنبياء قبل نبينا محمد ﷺ وإليه تحشر الخلق يوم القيامة (لباب التاويل 3/106)

Al-Imam Allauddin Al-Khazin berkata: "Dan sebahagian ulama mengatakan; dinamakan ia bumi yang penuh berkat kerana sesungguhnya ia adalah tempat tinggal para Anbiya, tempat turun Malaikat dan wahyu, tempat qiblat bagi para Anbiya sebelum Nabi Muhammad SAW dan kepadaNya akan berkumpul seluruh makhluk di hari kiamat."