
بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين
PROGRAM MAJLIS SEIKHLAS WAKAF SEINDAH RAMADAN 2025 ASNB DI MJBBU
Masjid Jamek Bandar Baru UDA (MJBBU) telah menerima sumbangan dari Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) melalui program Majlis Seikhlas Wakaf Seindah Ramadan 2025 yang telah diadakan pada Selasa lalu (11 Mac 2025).
Program yang menekankan keperluan wakaf dan infak ini dilaksanakan oleh ASNB di masjid ini bagi memupuk semangat dan kefahaman dalam keperluan berwakaf.
Program ini bermula pada 6.30 petang di Ruang Legar Aras 1 MJBBU dengan ucapan dari Regional Director ASNB, Puan Nor Laily binti Osman dan diteruskan dengan penyerahan sumbangan kewangan dan peralatan kepada masjid, diwakili oleh Timbalan Setiausaha MJBBU, Puan Alwani binti Sabri dan diiringi Pengurus MJBBU, Tuan Haji Abd Rashid bin Bukhairah.
Pihak masjid mengucapkan ribuan terima kasih di atas sumbangan dari ASNB dan mana-mana pihak yang menginfak ke masjid ini bagi memenuhi keperluan orang ramai melalui masjid termasuklah majlis fardu ain, kelas-kelas akademik dan kerohanian remaja serta kanak-kanak, bantuan asasi asnaf-asnaf dan sebagainya.
Khususnya di bulan Ramadan ini, semoga Allah SWT melipatgandakan amal jariah kita dan mengganjari kita dengan syurgaNya.
( قوله : وإعطاؤها برمضان الخ ) أي لخبر الصحيحين أنه ﷺ : كان أجود ما يكون في رمضان ولخبر أبي داود : أي الصدقة أفضل؟ قال : في رمضان (إعانة الطالبين 2/354)
Al-Allamah Al-Syeikh Zainuddin Al-Malibari berkata: "(Dan memberi sedekah di bulan Ramadan) yakni kerana berdasarkan hadis Sahihain bahawasanya: "Adalah Baginda SAW menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadan"; dan hadis Abi Daud: "Sedekah apakah yang paling afdal?" Baginda SAW menjawab: "Sedekah di bulan Ramadan."