
بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين
KEMPEN DERMA DARAH BERGERAK HSAJB & MJBBU
Masjid Jamek Bandar Baru UDA (MJBBU) dengan melalui Pengurusan Masjid & Surau, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (PMSJAINJ) beserta kerjasama Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) telah mengadakan Kempen Derma Darah Bergerak di masjid ini semalam.
Inisiatif ini dijalankan di atas keperluan pemindahan darah di hospital-hospital sekitar Johor Bahru yang hampir kehabisan stok darah untuk diberikan kepada pesakit-pesakit yang memerlukan. Melalui kerjasama ini, pihak HSAJB akan mengadakan Kempen Derma Darah Bergerak termasuklah di masjid-masjid lain pada tarikh-tarikh yang ditetapkan.
Di masjid ini, kempen ini bermula seawal jam 6.00 petang di Dewan Suliman MJBBU dengan pendaftaran dan selepas jam 8.00 malam bermula aktiviti menderma darah sehingga jam 11.00 malam. Seramai 50 orang terdiri dari lelaki dan wanita menyertai kempen ini.
Pihak masjid mengucapkan jutaan terima kasih di atas penyertaan para jemaah di dalam kempen ini. Semoga dengan sumbangan darah tersebut, lagi-lagi di bulan yang diberkati, Ramadan, Allah SWT melipatgandakan balasan pahala serta mengurniakan ganjaran dan keutamaan buat para hambaNya yang membantu orang yang memerlukan.
قال رسول الله ﷺ : من نفس عن مؤمن كربة من كرب الدنيا نفس الله عنه كربة من كرب يوم القيامة، ومن يسر على معسر يسر الله عليه في الدنيا والآخرة، ومن ستر مسلما ستره الله في الدنيا والآخرة، والله في عون العبد ما كان العبد في عون أخيه
Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang melapangkan satu kesusahan dunia dari seorang mukmin, maka Allah melapangkan darinya satu kesusahan di hari Kiamat. Barangsiapa memudahkan (urusan) orang yang kesulitan, maka Allah akan memudahkan baginya di dunia dan akhirat. Barangsiapa menutupi aib seorang muslim, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah sentiasa menolong seorang hamba selama mana hamba tersebut menolong saudaranya."
قال ابن دقيق العيد: فيه فضل قضاء حوائج المسلمين ونفعهم بما يتيسر من علم أو مال أو معاونة أو إشارة بمصلحة أو نصيحة أو غير ذلك (شرح الأربعين حديثا النووية: 93)
Al-Sheikh Ibn Daqiq Al-Aid: "Di dalamnya (hadis) terkandung keutamaan memenuhi keperluan orang Islam, memberi manfaat kepada mereka dengan apa yang mudah dari (manfaat) ilmu, harta, pertolongan, petunjuk yang maslahat (baik), nasihat atau selainnya."