
بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين
MAJLIS MERAIKAN BAKAL HAJI 1446H / 2025 DI MJBBU
Alhamdulillah telah berlangsung Majlis Meraikan Bakal Haji MJBBU di Dewan Solat Utama MJBBU dan di Dewan Suliman MJBBU pada Khamis semalam (24 April 2025) dan majlis telah berjalan dengan lancar.
Majlis bermula selepas Solat Fardu Maghrib berjemaah, diteruskan dengan bacaan Surah Yasin, Tahlil dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Imam Haji Mohd kamal bin Zakaria dan Bilal Muhammad Zulfikri Amin bin Zulkifli. Kemudian majlis diteruskan dengan penyampaian cenderahati oleh Pengerusi MJBBU, Ustaz Haji Md Burhanuddin bin Haji Tibek kepada bakal jemaah haji lelaki dan Pengerusi Biro HELWA MJBBU, Puan Hajah Wan Kamaliah binti Wan Ahmad kepada bakal jemaah haji wanita, kedua-duanya seramai 53 orang.
Majlis diteruskan dengan Solat Fardu Isyak berjemaah, jamuan dan diakhiri dengan Kursus Ulangkaji Ibadah Haji yang telah disampaikan oleh Ustaz Haji Abu Bakar bin Watak di Dewan Suliman MJBBU pada jam 9.30 malam. Sehubungan itu, Klinik Tuah juga telah membuka booth dan menyediakan perkhidmatan Ultrasound Lutut secara percuma buat para jemaah masjid khususnya bagi jemaah bakal haji.
Pihak masjid mengucapkan ribuan terima kasih kepada para jemaah yang hadir bagi meraikan ahli jemaah haji yang berpeluang menunaikan ibadah Haji pada tahun ini dan mendoakan agar jemaah haji khususnya dari kariah Bandar Baru Uda dikurniakan Haji Mabrur.
قال العلامة أبي بكر البكري : واعلم أن فضائله لا تحصي
Al-Allamah Abi Bakr Al-Bakri: "Dan ketahuilah bahawa fadilat-fadilat ibadah haji tidak terkira."
ﻗﺎﻝ ﺭﺳﻮﻝ ﺍﻟﻠﻪ : ﻣﻦ ﺧﺮﺝ ﺣﺎﺟﺎ ﻳﺮﻳﺪ ﻭﺟﻪ ﺍﻟﻠﻪ ﻓﻘﺪ ﻏﻔﺮ ﺍﻟﻠﻪ ﻟﻪ ﻣﺎ ﺗﻘﺪﻡ ﻣﻦ ﺫﻧﺒﻪ ﻭﻣﺎ ﺗﺄﺧﺮ ﻭﺷﻔﻊ ﻓﻴﻤﻦ ﺩﻋﺎ ﻟﻪ
Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa keluar menunaikan haji kerana Allah, maka sesungguhnya Allah akan mengampunkan dosanya yang telah lalu dan dosanya yang terkemudian dan Dia akan memberi syafaat kepada orang yang dia doakan untuknya."
ﻭﻗﺎﻝ ﺍﺑﻦ ﺍﻟﻌﻤﺎﺩ ﻓﻲ ﻛﺸﻒ ﺍﻷﺳﺮﺍﺭ : ﻭﺣﻜﻤﺔ ﺗﺮﻛﺐ ﺍﻟﺤﺞ ﻣﻦ ﺍﻟﺤﺎﺀ ﻭﺍﻟﺠﻴﻢ : ﺍﻹﺷﺎﺭﺓ ﺇﻟﻰ ﺃﻥ ﺍﻟﺤﺎﺀ ﻣﻦ ﺍﻟﺤﻠﻢ ﻭﺍﻟﺠﻴﻢ ﻣﻦ ﺍﻟﺠﺮﻡ - ﻓﻜﺄﻥ ﺍﻟﻌﺒﺪ ﻳﻘﻮﻝ : ﻳﺎ ﺭﺏ ﺟﺌﺘﻚ ﺑﺠﺮﻣﻲ - ﺃﻱ ﺫﻧﺒﻲ - ﻟﺘﻐﻔﺮﻩ ﺑﺤﻠﻤﻚ (إعانة الطالبين 2/459)
Al-Imam Ibn Al-Imad di dalam Kasyf Al-Asrar berkata: "Dan hikmah tersusun kalimah Al-Haji itu dari huruf ha dan jim adalah memberi isyarat bahawa huruf ha itu adalah dari kata Al-Hilm (santun) dan huruf jim itu adalah dari kata Al-Jirm (dosa). Maka seolah-olah seorang hamba itu berkata: "Wahai Tuhan, telah aku datang kepadaMu dengan dosa-dosaku agar engkau mengampuni dosa itu dengan sifat santunMu."