
بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين
PROGRAM SEMARAK KHAUJAKAN DI MJBBU
Alhamdulillah, pihak Badan Kebajikan Jemaah Khaujakan Johor dengan kerjasama Masjid Jamek Bandar Baru Uda telah mengadakan program Semarak Khaujakan di masjid ini pada Sabtu yang lalu (14 Jun 2025). Program ini telah mendapat sambutan yang baik dengan penyertaan sehingga 600 orang dari jemaah lelaki dan wanita.
Program telah bermula seawal jam 8.30 pagi dengan ketibaan tetamu di seluruh negeri Johor beserta pendaftaran dan sarapan pagi. Program kemudiannya diteruskan dengan ucapan Pengerusi Khaujakan Daerah Johor Bahru, Tuan Haji Embi bin Mohd Yusuf, Pengerusi Khaujakan Negeri Johor, Tuan Haji Jasni bin Omar dan perasmian oleh Pegawai Hal Ehwal Agama Islam, Pejabat Kadi Daerah Johor Bahru, Ustaz Fadhil bin Abu Samah.
Pada jam 10.00 pagi bermula forum sempena program Semarak Khaujakan dengan tajuk "Membina Masyarakat Madani Melalui Wirid Khaujakan" dan di antara moderator dan panel jemputan ialah Ustaz Dr. Rilizam bin Rosli, Ustaz Haji Salehuddin bin Jaafar dan Ustaz Haji Zaieme bin Muhamad.
Bagi program kemuncak ialah majlis bacaan Wirid Khaujakan yang bermula dengan Solat Hajat dan bacaan Wirid Khaujakan yang dipimpin oleh Imam Sadam, Imam Mahathir bin Haji Md Noor dan Imam Ahmad Azhari bin Sahid. Majlis bacaan Wirid Khaujakan ini telah berakhir pada jam 1.00 petang.
Program berakhir dengan jamuan selepas Zohor dan peserta bersurai. Pihak masjid mengucapkan jutaan terima kasih di atas kehadiran dan penyertaan para jemaah samada di bawah Badan Kebajikan Jemaah Khaujakan Johor dan para jemaah sekitar masjid ini sekaligus mengimarahkan masjid ini. Semoga segala hajat dan permintaan dimakbulkan Allah SWT.
قال الشيخ السيد محمد حقي النازلي : انهم اتفقوا في قضاء الحاجات وحصول المرادات ودفع البلاء وقهر الاعداء والحساد ورفع الدرجات وحصول القربات وظهور التجليات وقد استعملوا هذه الفائدة الجليلة واسرار الغريبة (خزينة الاسرار 213)
Al-Sheikh Al-Sayyid Muhammad Haqi Al-Nazili berkata: "Bahawa mereka (Sayyidi Jaafar Al-Yazid Abu Al-Bustami, Abu Al-Hasan Al-Kharaqani dan para ulama Al-Naqsyabandiyah) telah bersepakat dalam menunaikan hajat, mencapai keinginan, menolak bala, mengalahkan musuh dan hasutan syaitan, meninggikan darjat sampai ke maqam muqarabah dan pentajalian kekuasanNya, telah mengamalkan Khatam Khaujakan."