بسم الله الرحمن الرحيم


بسم الله الرحمن الرحيم

بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين

BERGEMBIRA DENGAN KEDATANGAN RAMADAN

Bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh keberkatan dan kemuliaan. Ia adalah bulan yang dinanti-nantikan oleh umat Islam di seluruh dunia kerana pelbagai fadilat pada bulan tersebut.

Bahkan ia menjadi keinginan oleh orang yang beriman agar Ramadan sepanjang tahun. Al-Imam Al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali menukilkan sebuah hadis Marfu', riwayat Ibn Abi Al-Dunya:

في حديث مرفوع خرجه ابن أبي الدنيا: لو يعلم العباد ما في رمضان لتمنت أمتي أن يكون رمضان السنة كلها

"Sekiranya seorang hamba itu mengetahui apa yang ada pada bulan Ramadan, nescaya mereka akan mengharap bahawa sepanjang tahun itu seluruhnya ialah Ramadan sahaja."

Justeru khabar kedatangan bulan Ramadan menjadi kegembiraan kepada umat Islam dan para ulama menganjurkan kita untuk merasa seronok dan suka serta mengucapkan tahniah sesama kita dengan kedatangan bulan ini.

Diriwayatkan sebuah hadis oleh Al-Imam di dalam kitabnya:

كان النبي ﷺ يبشر أصحابه يقول : قد جاءكم شهر رمضان شهر مبارك افترض الله عليكم صيامه تفتح فيه أبواب الجنة وتغلق فيه أبواب الجحيم وتغل فيه الشياطين فيه ليلة خير من ألف شهر من حرم خيرها فقد حرم

“Adalah Nabi SAW memberikan khabar gembira kepada para sahabatnya, Baginda bersabda: “Telah datang kepada kamu bulan Ramadan, bulan yang diberkati. Allah mewajibkan ke atas kamu berpuasa padanya. Di dalamnya dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu Jahim (neraka) dan dibelenggu syaitan. Di dalamnya terdapat terdapat satu malam yang lebih baik (beramal) dari satu ribu bulan. Barangsiapa yang dihalangi dari kebaikannya, maka sungguh dia terhalang."

Al-Imam menerangkan hadis tersebut:

قال بعض العلماء : هذا الحديث أصل في تهنئة الناس بعضهم بعضا بشهر رمضان

"Sebahagian ulama mengatakan: "Hadis ini merupakan asal (dasar) bagi ucapan tahniah orang ramai dari sebahagian mereka kepada sebahagian yang lain di atas kedatangan bulan Ramadan."

كيف لا يبشر المؤمن بفتح أبواب الجنان كيف لا يبشر المذنب بغلق أبواب النيران كيف لا يبشر العاقل بوقت يغل فيه الشياطين من أين يشبه هذا الزمان زمان

"Bagaimana seseorang tidak memberi khabar gembira kepada seorang mukmin dengan dibukanya pintu-pintu syurga? Bagaimana seseorang tidak memberi khabar gembira kepada seorang pendosa dengan ditutupnya pintu-pintu neraka? Bagaimana seseorang tidak memberi khabar gembira kepada seorang yang berakal dengan satu waktu yang padanya syaitan-syaitan dibelenggu? Dimanakah waktu yang dapat menyamai waktu ini?"

Bahkan diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW sentiasa berdoa agar disampaikan ke bulan Ramadan setelah masuk bulan Rejab, sepertimana doa-doa yang telah dibacakan oleh para imam di masjid-masjid dan surau-surau.

Al-Imam menukilkan kata-kata para ulama Salaf:

قال معلى بن الفضل : كانوا يدعون الله ستة أشهر أن يبلغهم شهر رمضان ثم يدعون الله ستة أشهر أن يتقبله منهم وقال يحيى بن أبي كثير كان من دعائهم : اللَّهُمَّ سَلِّمْنِي لِرَمَضَانَ، وَسَلِّمْ رَمَضَانَ لِي، وَتَسَلَّمْهُ مِنِّي مُتَقَبَّلًا

"Mu'alla bin al-Fadal berkata: "Mereka (ulama Salaf) berdoa kepada Allah enam (6) bulan (sebelum) agar disampaikan kepada bulan Ramadan. Kemudian mereka berdoa kepada Allah enam (6) bulan (selepasnya) agar amalan mereka diterima Allah. Dan telah berkata Yahya bin Abi Kathir bahawa dari doa para ulama salaf ialah: "Ya Allah, sejahterakanlah aku sehingga datangnya Ramadan, sejahterakanlah Ramadan bagiku dan terimalah dariku (ibadat pada bulan itu)."

Oleh itu marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT agar diberi kekuatan dan kesediaan kepada kita untuk menyambut Ramadan Al-Mubarak. Semoga kita dapat istiqamah dan menggandakan amal ibadah kita khususnya pada bulan Ramadan yang akan tiba ini serta menjauhi segala kemaksiatan dan sebarang kezaliman.