بسم الله الرحمن الرحيم
بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين
BULAN RAMADAN MENGANGKAT DARJAT
Bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh kemuliaan. Di bulan Ramadan telah diwajibkan ke atas umat Islam untuk berpuasa sebulan penuh dan ia adalah salah satu rukun Islam yang lima.
Nabi SAW bersabda:
بني الإسلام على خمس : شهادة أن لا إله إلا الله وأن محمدا رسول الله وإقام الصلاة وإيتاء الزكاة وحج البيت وصوم رمضان
"Islam itu dibina atas lima perkara iaitu bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, bahawa Nabi Muhammad SAW adalah utusan Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji dan puasa pada Ramadan.”
Bulan ini penuh juga bulan yang penuh keberkatan dan rahmat daripada Allah SWT. Bahkan ia bulan yang agung dan meninggikan darjat umat Islam. Di antara kemuliaannya sebagaimana sabdaan Nabi SAW, iaitu:
إذا جاء رمضان فتحت أبواب الجنة وغلقـت أبواب النار وصفدت الشياطين
"Apabila tiba bulan Ramadan, dibukalah pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan."
Di antara hikmah dari sabdaan Nabi ini ialah kerana banyaknya amal kebaikan yang dilaksanakan oleh orang beriman dan umat Islam, sedikitnya kemaksiatan serta kesalahan yang dilakukan dan meningkatnya perisai umat Islam dari keinginan yang penuh dosa.
Al-Imam Izzuddin bin Abdissalam menghuraikan hadis ini di dalam risalahnya:
أما تفتيح أبواب الجنة فعبارة عن تكثير الطاعات الموجبة لفتح أبواب الجنان
"Adapun (yang dimaksudkan) terbukanya pintu-pintu syurga adalah sebagai perumpamaan banyaknya ketaatan (ibadat) pada bulan Ramadan, mewajibkan pintu-pintu syurga dibuka."
وتغليق أبواب النار عبارة عن قلة المعاصي الموجبة لإغلاق أبواب النيران
"Adapun ditutup pintu-pintu neraka sebagai perumpamaan sedikitnya kemaksiatan mewajibkan pintu-pintu neraka ditutup."
وتصفيد الشياطين عبارة عن انقطاع وسوستهم عن الصائمين لأنهم لا يطمعون في إجابتهم إلى المعاصي
"Dan adapun dibelenggu syaitan-syaitan sebagai perumpamaan terputusnya was-was (bisikan syaitan) bagi orang-orang berpuasa kerana mereka tiada keinginan kepada kemaksiatan"
Ini juga kerana di bulan mulia ini, umat Islam mengingati akan nikmat serta azab Allah SWT ke atas mereka yang mengingkari perintah Allah ini. Bagi menyelamatkan diri dari siksaan Allah, umat Islam meningkatkan amalan pada bulan yang mulia ini.
Al-Imam menghuraikan lagi:
فلأنه تذكر جوع أهل النار وظمأهم فحثه ذلك على تكثير الطاعات لينجو بها من النار
"Kerana sesungguhnya (puasa) mengingatkan lapar dan dahaganya ahli neraka. Maka demikian itu akan menggalakannya untuk memperbanyak ketaatan agar selamat dari api neraka."
Dengan kedatangan bulan agung ini, marilah sama-sama mengambil peluang ini untuk memaksimumkan amal ibadah, meminimumkan kesalahan, dosa dan kemaksiatan. Semoga dengan itu, menjadikan kita hambaNya yang bertakwa dan Allah SWT menerima segala amal kita.
