بسم الله الرحمن الرحيم


بسم الله الرحمن الرحيم

بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين

MEMBURU MALAM LAILATULQADAR: RAMADAN 1447H

Di bulan Ramadan terdapat satu malam yang amat istimewa iaitu Lailatulqadar dan ia adalah malam yang lebih utama dan baik dari selama seribu (1,000) bulan. Yakni beramal dan beribadah pada malam tersebut adalah lebih baik daripada seribu bulan tanpa Lailatulqadar.

Allah SWT berfirman:

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ (1) وَمَآ أَدْرَىٰكَ مَا لَيْلَةُ ٱلْقَدْرِ (2) لَيْلَةُ ٱلْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍۢ (3) تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِم مِّن كُلِّ أَمْرٍ (4) سَلَٰمٌ هِىَ حَتَّىٰ مَطْلَعِ ٱلْفَجْرِ (5)

"Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Lailatulqadar. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!"

Al-Allamah Zainuddin Al-Malibari berkata:

والعمل فيها خير من العمل في الف شهر ليس فيها ليلة القدر

"Dan amal di malam tersebut adalah lebih baik daripada amal selama seribu (1,000) bulan yang mana tiada padanya Lailatulqadar."

Al-Allamah Abu Bakar Al-Bakri berkata:

وهي ثلاث وثمانون سنة وأربعة أشهر

"Dan iaitu bersamaan 83 tahun dan 4 bulan."

Disebutkan di dalam 'Ianah Al-Talibin bahawa istimewanya bulan ini adalah kerana ia anugerah khusus Allah SWT kepada Nabi SAW dan umatnya.

وروي عن ابن عباس رضي الله عنهما : أنه ذكر لرسول الله ﷺ رجل من بني إسرائيل حمل السلاح على عاتقه في سبيل الله ألف شهر فتعجب رسول الله ﷺ لذلك وتمنى ذلك لأمته فقال : يا رب جعلت أمتي أقصر الأمم أعمارا وأقلها أعمالا فأعطاه الله وتعالى ليلة القدر خيرا من ألف شهر

"Diriwayatkan dari Ibn Abbas RA, disebutkan kepada Rasulullah SAW akan seorang lelaki dari Bani Israel yang telah membawa pedang berjuang di jalan Allah selama seribu (1,000) bulan. Lalu Rasulullah SAW berasa takjub serta kagum dan berharap hal demikian bagi umatnya. Maka Baginda SAW berdoa: "Ya Rab! Engkau menjadikan umatku berumur paling pendek dan paling sedikit amalnya." Lalu Allah SWT menganugerahkan Lailatulqadar yang mana ia lebih baik daripada seribu bulan."

Oleh itu marilah sama-sama kita merebut peluang ini agar mendapatkan Lailatulqadar. Yang mana ia adalah sebaik-baik malam untuk beramal. Para ulama saling berselisih pada ketetapan dan perpindahan malam Lailatulqadar.

Al-Allamah Al-Malibari berkata:

وأرجى أوتاره عند الشافعي : ليلة الحادي أو الثالث والعشرين واختار النووي وغيره انتقالها

"Dan yang diharapkan adalah pada malam yang ganjil menurut Al-Imam Al-Syafie iaitu pada malam ke-21 atau malam ke-23. Dan Al-Imam Al-Nawawi dan lainnya memilih (pendapat bahawa) Lailatulqadar boleh berpindah (di malam hari lainnya)."

Demikian juga pendapat Al-Imam Al-Ghazali dan ulama lainnya, iaitu kaedah mendapatkan Lailatulqadar dan turut dinazamkan oleh Al-Imam Al-Syihab Al-Qalyubi di dalam karangannya Hasyiah Al-Mahalli dengan memerhatikan permulaan Ramadan dan dihitungkan pada malam-malam yang dinyatakan.

Al-Imam Al-Qalyubi berkata:

يا سائلى عن ليلة القدر التى ∴ فى عشر رمضان الأخير حلت
فإنها فى مفردات العشر ∴ تعرف من يوم ابتداء الشهر
فبالأحد و الأربعا فى التاسعة ∴ وجمعة مع الثلاثا السابعة
وإن بدا الخميس فالخامسة ∴ وإن بدا بالسبت فالثالثة
وإن بدا الإثنين فهى الحادى ∴ هذا عن الصوفية الزهاد

"Wahai orang yang bertanya padaku tentang Lailatulqadar pada sepuluh terakhir bulan Ramadan, maka sesungguhnya ia dapat diketahui dari hari permulaan bulan Ramadan. Jika permulaan Ramadan pada hari Ahad dan Rabu maka Lailatulqadar adalah pada malam ke-29. Jika pada hari Jumaat dan Selasa, maka Lailatulqadar pada malam ke-27. Jika pada hari Khamis, maka malam ke-25. Jika pada hari Sabtu, maka malam ke-23. Jika pada hari Isnin, maka malam ke-21. (Penjelasan) ini adalah dari para ulama Tasawuf yang zuhud."

Sebagai tambahan dan kemudahan, Allamah Abu Bakar Al-Bakri menukilkan beberapa buah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Baihaqi, yang dapat diambil manfaat.

Nabi SAW bersabda:

من صلى المغرب والعشاء في جماعة حتى ينقضي شهر رمضان : فقد أخذ من ليلة القدر بحظ وافر

"Barangsiapa menunaikan Solat Maghrib dan Isyak berjemaah sehingga selesai Ramadan, maka sungguh dia telah mengambil bahagian Lailatulqadar dengan sempurna."

وروى أيضا : من شهد العشاء الأخيرة في جماعة من رمضان فقد أدرك ليلة القدر

"Dan Al-Imam Al-Baihaqi meriwayatkan juga: "Barangsiapa menghadiri Solat Isyak berjemaah di bulan Ramadan, maka sungguh dia telah mendapatkan Lailatulqadar."

Justeru marilah sama-sama kita berazam dan bersungguh-sungguh untuk memperbanyakkan amalan di akhir bulan Ramadan ini, khususnya pada 10 terakhir Ramadan.

Semoga Allah SWT memberikan kita kekuatan untuk istiqamah beramal dan beribadah di dalam 10 malam Ramadan ini dan sekaligus mendapatkan Lailatulqadar.