بسم الله الرحمن الرحيم


بسم الله الرحمن الرحيم

بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين

MAJLIS MESRA AIDILFITRI 1447H DI MASJID JAMEK BANDAR BARU UDA (MJBBU)

Alhamdulillah telah berlangsung Majlis Mesra Aidilfitri 1447H / 2026 anjuran Masjid Jamek Bandar Baru Uda (MJBBU) pada Sabtu yang lalu (11 April 2026) dan telah mendapat sambutan yang amat baik dari jemaah masjid, ahli kariah Bandar Baru Uda dan masyarakat sekitar. Majlis ini diadakan di perkarangan masjid dan telah bermula seawal jam 8.45 pagi sehingga 12.00 tengah hari.

Majlis telah bermula dengan kata alu-aluan oleh pengacara majlis, Bilal Ismail Rifaie bin Noor Muhamad dan diteruskan dengan bacaan selawat serta marhaban yang dipimpin oleh imam-imam, bilal-bilal MJBBU bersama-sama Ahli Jawatankuasa MJBBU dan Sahabat Sukarelawan MJBBU serta bacaan doa oleh Imam Haji Mohd Kamal bin Zakaria.

Majlis diteruskan dengan ucapan Pengerusi MJBBU, Ustaz Haji Md Burhanuddin bin Haji Tibek dan turut diserikan dengan kehadiran Yang Berhormat Tuan Mohd Hairi bin Mad Shah. Majlis diikuti dengan pelancaran Tabung Pembangunan bagi kerja Gerbang Utama Masjid Jamek Bandar Baru UDA oleh Ustaz Haji Md Burhanuddin, turut disaksikan oleh YB Tuan Mohd Hairi, bersama-sama Timbalan Pengerusi, Haji Rahmat bin Md Yusof, Biro Pembangunan, Aset & Prasarana, Haji Lokman bin Mohd Sies dan Pengurus MJBBU, Tuan Haji Ab Rashid bin Bukhairah.

Majlis diteruskan dengan penyampaian cenderahati dari pihak Pengurusan MJBBU kepada mantan kakitangan masjid, Saudara Muhammad Hazim Zaim bin Dandan diikuti dengan pemberian duit raya kepada anak-anak yang hadir oleh YB Tuan Mohd Hairi bersama-sama Ustaz Haji Md Burhanuddin.

Disamping menikmati juadah hari raya oleh tetamu dan hadirin, majlis ini diselangi dengan persembahan-persembahan nasyid dan lagu oleh kumpulan An-Nida, iaitu Bilal Muhammad Zulfikri Amin bin Zulkifli, Bilal Ismail Rifaie bin Noor Muhamad dan Saudara Muhammad Ashraf bin Sahari.

Pihak masjid mengucapkan jutaan terima kasih di atas kehadiran para jemaah masjid, ahli kariah Bandar Baru Uda serta masyarakat sekitar yang memeriahkan majlis kali ini sekaligus mengeratkan lagi silaturrahim. Pihak masjid turut berterima kasih kepada para penyumbang yang menginfakkan hartanya bagi kerja-kerja pembangunan dan pengimarahan di masjid ini.

واتقوا الله الذى تساءلون به والأرحام (سورة اللنساء: 01)

"Bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat."

قال رسول الله ﷺ : ما من عمل حسن أسرع ثوابا من صلة الرحم وما من عمل سيئة أسرع عقوبة من البغي (روح البيان 2/165)

Rasulullah SAW bersabda: "Tiada amal baik yang paling cepat balasan pahalanya berbanding silaturrahim dan tiada amal buruk yang paling cepat balasan hukumannya berbanding berbuat jahat."