بسم الله الرحمن الرحيم


بسم الله الرحمن الرحيم

بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين

MALAM CINTA RASUL SAW MJBBU & PKWRDL

Alhamdulillah, pihak masjid dengan kerjasama Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dun Larkin (PKWRDL) telah mengadakan program Malam Cinta Rasul pada Jumaat yang lalu (15 Mei 2026) dan ianya telah mendapat sambutan yang sangat baik dikalangan ahli kariah dan masyarakat sekitar.

Program ini yang telah bermula seawal 9.00 pagi bagi penyediaan program Kenduri Sekampung dan telah diuruskan oleh Unit HELWA masjid, iaitu dengan penyediaan bahan-bahan masakan sebagai jamuan bagi Malam Cinta Rasul. Aktiviti memasak pula telah dimulakan selepas Jumaat di dapur masjid.

Pada jam 5.50 petang pula, bermulalah program Malam Cinta Rasul dengan bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat bagi mendoakan bakal jemaah Haji, khususnya juga ke atas YB Tuan Mohd Hairi bin Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor serta Ustaz Kamal Ariff bin Mohd Bakri, pegawai Kewangan Masjid Jamek Bandar Baru UDA, yang akan melaksanakan ibadah Haji pada tahun ini.

Program diteruskan dengan jamuan Kenduri Sekampung di aras 1 masjid. Selepas Maghrib pula, program diteruskan dengan gimik penyerahan Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa 4 yang telah disampaikan oleh YB Tuan Mohd Hairi bin Mad Shah, diiringi oleh YB Dato' Dr. Haji Nooh bin Gadut dan Ustaz Haji Md Burhanuddin bin Haji Tibek, Pengerusi Masjid Jamek Bandar Baru UDA.

Kemudiannya tibalah sesi Tausiyah Khas sempena Maulid Al-Nabi yang disampaikan oleh YB Dato' Dr. Haji Nooh bin Gadut. Selepas Isyak pula ialah program kemuncak, iaitu Majlis Selawat yang dipimpin oleh kumpulan An-Nida' yang terdiri dari anggota bilal masjid ini, bersama-sama kumpulan lagenda nasyid iaitu Rabbani. Disamping itu, masjid juga menyediakan food truck sebagai makan dan minum malam buat para jemaah yang hadir di kawasan parker utama masjid.

Pihak masjid mengucapkan jutaan terima kasih dan tahniah kepada para jemaah masjid serta masyarakat sekitar kerana menghadiri program Malam Cinta Rasul ini dan sekaligus mengimarahkan masjid ini. Semoga dengan penglibatan ini, para hadirin dapat menambahkan ilmu dan memupukkan kasih sayang dan cinta serta rindu kepada junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, kerana tiadalah penglibatan semua dalam menyambut Maulid Al-Nabi SAW melainkan rasa cinta serta memuji Baginda SAW.

قال سلطان العارفين جلال الدين السيوطي في كتابه الوسائل في شرح الشمائل : ما من بيت أو مسجد أو محلة قرئ فيه مولد النبي ﷺ هلا حفت الملائكة بأهل ذلك المكان وعمهم الله بالرحمة

Sultan Al-'Arifin Al-Imam Jalaluddin Al-Suyuti berkata di dalam kitabnya Al-Wasail fi Syarh Al-Syamail : "Tiada satu rumah atau masjid atau tempat yang dibacakan di dalamnya Maulid Al-Nabi SAW melainkan para malaikat akan mengelilingi ahli tempat tersebut dan Allah SWT akan melimpahkan mereka dengan rahmatNya."

قال السري السقطي : من قصد موضعا يقرأ فيه مولد النبي ﷺ فقد قصد روضة من رياض الجنة لأنه ما قصد ذلك الموضع إلا لمحبة الرسول وقد قال ﷺ : من أحبني كان معي في الجنة

Al-Imam Al-Sirri Al-Saqati berkata: "Barangsiapa menghadiri suatu tempat dibacakan Maulid Al-Nabi SAW di dalamnya, maka sesungguhnya dia telah menghadiri salah satu taman dari taman-taman syurga kerana tidak dia hadir ke tempat itu melainkan kerana cinta kepada Rasul. Dan Rasulullah SAW telah bersabda: "Barangsiapa mencintaiku, akan bersamaku di dalam syurga."

قال الحسن البصري قدس الله سره : وددت لو كان لي مثل جبل أحد ذهبا لانفقته على قراءة مولد الرسول (إعانة الطالبين 3/613)

Al-Imam Hasan Al-Basri berkata : "Sekiranya aku mempunyai emas setinggi bukit Uhud, nescaya aku akan membelanjakannya untuk meraikan majlis membaca Maulid Al-Rasul SAW."