بسم الله الرحمن الرحيم


بسم الله الرحمن الرحيم

بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين

PROGRAM KORBAN PERDANA AIDILADHA 1447H DI MJBBU

Alhamdulillah telah selesai Program Korban Aidiladha di Masjid Jamek Bandar Baru UDA pada Sabtu yang lalu (30 Mei 2026) di perkarangan masjid ini dan buat julung kalinya, pihak masjid telah bekerjasama dengan pihak Parlimen Johor Bahru untuk program ini. Program ini mendapat sambutan yang amat baik dan dihadiri petugas, sukarelawan masjid serta warga kerja dan sukarelawan dari Parlimen Johor Bahru seramai 160 orang.

Bagi program kali ini, pihak masjid dan parlimen Johor Bahru, kedua-duanya melaksanakan korban sebanyak 22 ekor lembu dan 10 ekor kambing. Bagi penyembelihan lembu-lembu, ia telah dilaksanakan di pusat penyembelihan di Pontian dengan pantauan Pengerusi masjid, Ustaz Haji Md Burhanuddin bin Haji Tibek serta para imam dan bilal masjid.

Kerja-kerja penyembelihan dilakukan seawal jam 10.00 malam pada 29 Mei 2026 di sana, dan dihantar ke masjid pada 1.00 pagi keesokannya. Manakala aktiviti-aktiviti melapah daging-daging lembu oleh para petugas telah bermula seawal jam 8.00 pagi di perkarangan masjid.

Bagi penyembelihan kambing-kambing pula telah dilaksanakan di masjid pada pagi tersebut dan dipimpin oleh Ustaz Haji Abu Bakar bin Watak, dan Imam Mohd Shaiful bin Mohd Esa. Para peserta yang hadir dapat menyaksikan korban masing-masing dilaksanakan. Manakala aktiviti melapah, memotong dan mengasingkan terus dilakukan sejurus taklimat dan sembelihan.

Turut hadiri bersama ialah Yang Berhormat Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga & Daya Guna Awam merangkap Ahli Parlimen Johor Bahru dengan menyertai aktiviti melapah daging korban serta menyapa petugas-petugas yang sertai. YB Tuan Haji Akmal Nasrullah juga turut menyerahkan Cek Cura bagi sumbangan naik taraf infrastruktur Masjid Jamek Bandar Baru UDA kepada Pengerusi masjid Ustaz Haji Md Burhanuddin.

Aktiviti-aktiviti pengagihan daging-daging korban pula telah bermula seusai Solat Zohor sehingga jam 4.00 petang dan kerja-kerja pembersihan dilakukan sejurus selesai pengurusan sembelihan, melapah dan seumpamanya.

Pihak masjid mengucapkan tahniah kepada para jemaah yang hadir dan sertai aktiviti korban di masjid ini bagi tahun ini dan jutaan terima kasih kepada para petugas dan sukarelawan masjid serta ahli Parlimen Johor Bahru yang bertungkus-lumus bagi menjayakan ibadah ini.

قال رسول الله ﷺ : ما عمل ابن آدم من عمل يوم النحر أحب إلى الله من إهراق الدم وإنه ليؤتى يوم القيامة بقرونها وأشعارها وأظلافها وإن الدم ليقع من الله بمكان قبل أن يقع بالأرض فطيبوا بها نفسا

Rasulullah SAW bersabda: "Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam AS pada hari Al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada reda Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban)."

قال زين العرب : يعني أصل العبادات يوم العيد إراقة دم القربان وإنه يأتي يوم القيامة كما كان في الدنيا من غير نقصان شيء منه ليكون بكل عضو منه أجر ويصير مركبه على الصراط (مرقاة المفاتيح شرح مشكاة المصابيح)

Zain Al-Arab berkata: "Yakni asal ibadah-ibadah pada hari Aidiladha ialah menumpahkan darah binatang korban, dan sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sepertimana ia di dunia, tanpa mengurangi apapun darinya, sehingga setiap anggota darinya akan diberi pahala, dan akan menjadi tunggangan baginya (pelaksana ibadah korban) di atas Al-Sirat."