بسم الله الرحمن الرحيم


بسم الله الرحمن الرحيم

بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين

SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1448H DI MJBBU

Alhamdulillah Masjid Jamek Bandar Baru Uda (MJBBU) telah mengadakan Sambutan Maal Hijrah 1448H yang berlangsung dari 16 Jun (Selasa) hingga 17 Jun 2026 (Rabu). Program-program kali ini disambut dengan meriah dikalangan ahli kariah dan masyarakat sekitar Bandar Baru Uda.

Di antara aktiviti-aktiviti Maal Hijrah kali ini ialah ceramah dan kuliah khas bersempena Awal Muharram, pertandingan mewarna, pameran, kaunter dan perkhidmatan yang pelbagai serta program khas UTM dan MJBBU.

Sambutan Maal Hijrah kali ini bermula dengan Program Bacaan Surah Al-Waqiah, Zikir Munajat & Doa Akhir Tahun yang telah bermula pada jam 6.45 petang dan dipimpin oleh imam-imam dan bilal-bilal masjid. Selepas Maghrib, imam bertugas, Imam Ibrahim Adham Afif bin Ismail telah memimpin bacaan Doa Awal Tahun dan kemudiannya program diteruskan dengan bacaan Berzanji oleh Bilal Mohamad Khairulanuar bin Mohamad Dun.

Program diteruskan dengan Ceramah Khas Awal Muharram 1448H oleh Ustaz Mohd Hilmi bin Abdullah dengan tajuk "Iktibar Hijrah: Antara Khayalan & Realiti". Pada keesokan harinya ialah aktiviti Qiamullail yang dipimpin oleh Ustaz Muhammad Saleem bin Noor Muhamad. Selepas Subuh pula diteruskan dengan Kuliah Subuh Khas oleh Ustaz Profesor Madya Dr. Mohd Fauzi bin Abu@Hussin dengan tajuk "Prequel Peristiwa Hijrah Nabi SAW".

Bagi kemuncak program Sambutan Maal Hijrah 1448H ini ialah program Karnival Maal Hijrah 1448H yang telah diadakan pada 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari, di Dewan Jubli Perak Bandar Baru Uda. Pelbagai aktiviti diadakan serta perkhidmatan dan pameran yang disediakan bagi manfaat dan keseronokan para hadirin. Antaranya ialah Pertandingan Mewarna Kanak-kanak, Soopa Doopa, Petting Zoo dan Fundplay Memanah. Antara pameran dan kaunter yang disediakan ialah Perkhidmatan Urut Kaki Wanita, Pameran Khat, Kaunter Pemeriksaan Kesihatan, Kaunter Khairat BBU dan masjid.

Disamping itu juga, pihak masjid juga melalui kerjasama dengan UTM telah mengadakan Program Pemindahan Ilmu di Dewan Suliman dan Dewan Abd Samad Masjid Jamek Bandar Baru Uda dengan tajuk-tajuk menarik termasuklah "Pemantapan Ilmu Belia Pra Perkahwinan" oleh Ustaz Dr. Fahrul Irfan bin Ishak dan "Pemerkasaan Ilmu Pengurusan Harta" oleh Ustaz Dr. Nasrul Hisyam bin Nor Mohamad.

Pihak masjid mengucapkan jutaan tahniah dan terima kasih di atas penyertaan para jemaah ke dalam program-program Awal Muharram dan Maal Hijrah anjuran Masjid Jamek Bandar Baru Uda kali ini. Semoga Allah SWT mengganjari pelbagai kebaikan kepada kita di atas usaha pengimarahan masjid Allah SWT.

قال الشيخ صفي الرحمن المباركفوري : لم يكن معنى الهجرة هو التخلص من الفتنة والإستهزاء فحسب، بل كانت الهجرة مع هذا تعاونا على إقامة مجتمع جديد في بلد آمن ولذلك أصبح فرضا على كل مسلم قادر أن يسهم في بناء هذا الوطن الجديد، وأن يبذل جهده في تحصينه ورفعة شأنه (الرحيق المختوم: 177)

Al-Syeikh Sofiurrahman Al-Mubarakfur berkata: "Al-Hijrah bukan bermaksud melepaskan diri dari fitnah dan ejekan (kaum musyrikin) semata-mata, bahkan Al-Hijrah ialah bersama bertolongan di atas mendirikan sebuah masyarakat baru di dalam sebuah negara yang aman damai. Oleh yang demikian itu menjadi satu kefarduan ke atas setiap muslim yang mampu untuk menyumbang (tenaga) membina watan baru, mengorbankan seluruh tenaga dan sedaya upaya mempertahankannya, menjaga keutuhannya dan mengangkat martabatnya."