بسم الله الرحمن الرحيم
بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين
*BANDAR BARU UDA BERSELAWAT DI MJBBU*
Alhamdulillah Masjid Jamek Bandar Baru Uda (MJBBU) telah mengadakan satu program yang berkala iaitu Bandar Baru Uda Berselawat dan kali ini bersempena kedatangan Awal Muharram iaitu Maal Hijrah 1448H. Ini kerana amalan berselawat dan pembacaan Maulid Al-Nabi SAW amat wajar diadakan sentiasa kerana keutamaannya.
Di antara program bagi Bandar Baru Uda Berselawat kali ini, pihak masjid telah memulakan dengan bacaan alunan ayat suci Al-Quran yang telah dipimpin oleh qari tilawah yang mendapat johan pada tilawah Negeri Johor 2016 dan 2025, Ustaz Zakiuddin bin Hanafi. Program diteruskan lagi dengan lantunan qasidah, Asmaul Husna dan selawat oleh kumpulan Zafranix.
Bagi kemuncak progam pula ialah penyampaian Tausiyah Khas oleh Al-Sheikh Ustaz Yosree bin Ikhsan, Timbalan Pengarah Operasi, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ). Al-Fadil Sheikh telah menghuraikan Maulid Al-Nabi SAW dari jalan Sirah Al-Nabawi melalui peristiwa hijrah Nabi, bagaimana ia sebagai teras pengukuhan Islam dan Iman, menjadi tonggak kerohanian dan jasmani bagi umat Islam. Program ini diakhiri dengan jamuan di Aras 1 Masjid Jamek Bandar Baru UDA, selepas menunaikan Solat Isyak.
Pihak masjid mengucapkan jutaan terima kasih dan tahniah kepada para jemaah masjid dan masyarakat setempat Johor Bahru kerana telah menyertai serta menginfakkan harta dan tenaga di dalam penganjuran program ini. Semoga dengan penglibatan ini, para hadirin dapat menambahkan ilmu, memupukkan kasih sayang dan cinta serta rindu kepada junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, kerana tiadalah penglibatan semua dalam menyambut Maulid Al-Nabi SAW melainkan rasa cinta serta memuji Baginda SAW.
قال السري السقطي : من قصد موضعا يقرأ فيه مولد النبي ﷺ فقد قصد روضة من رياض الجنة لأنه ما قصد ذلك الموضع إلا لمحبة الرسول وقد قال ﷺ : من أحبني كان معي في الجنة (النعمة الكبرى على العالم)
_Al-Imam Al-Sirri Al-Saqati berkata: "Barangsiapa menghadiri suatu tempat dibacakan Maulid Al-Nabi SAW di dalamnya, maka sesungguhnya dia telah menghadiri salah satu taman dari taman-taman syurga kerana tidak dia hadir ke tempat itu melainkan kerana cinta kepada Rasul. Dan Rasulullah SAW telah bersabda: "Barangsiapa mencintaiku, akan bersamaku di dalam syurga."_
