بسم الله الرحمن الرحيم
بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين
SAMBUTAN MAULIDUR RASUL SAW 1448H DI MJBBU
Pihak masjid telah mengadakan Sambutan Maulidur Rasul SAW 1448H di Masjid Jamek Bandar Baru UDA pada Selasa yang lalu (25 Ogos 2026) dan telah mendapat sambutan yang amat baik dengan kehadiran serta penyertaan di dalam kuliah-kuliah dan pertandingan-pertandingan ilmiah yang diadakan.
Sambutan Maulidur Rasul kali ini telah diadakan sepanjang hari Selasa tersebut, bermula Subuh sehinggalah Isyak dan diadakan di masjid serta di surau-surau sekitar Bandar Baru Uda. Seusai Solat Subuh, masjid mengadakan Kuliah Subuh Khas Maulid Al-Nabi yang telah disampaikan oleh Ustaz Dr. Othman bin Sahlan, Pensyarah KUIJSI.
Program seterusnya dan merupakan program utama bagi sambutan Maulidur Rasul kali ini ialah pertandingan-pertandingan ilmiah di surau-surau Bandar Baru Uda. Antaranya ialah Surau Al-Falah dengan Pertandingan Azan, Surau Padi Malinja dengan Pertandingan Berkhutbah, Surau Pangsapuri Panti dengan Pertandingan Hafazan, Surau Suria Muafakat dengan Pertandingan Berzanji, Surau An-Nur Ledang dengan Pertandingan Bercerita Kanak-kanak dan Surau Skudai Kanan dengan Pertandingan Nasyid Kanak-kanak.
Program seterusnya ialah program kemuncak bagi sambutan Maulidur Rasul dan telah diadakan selepas Maghrib. Program bermula dengan bacaan Barzanji dan berselawat ke atas junjungan mulia Baginda SAW yang telah dipimpin oleh Bilal Ismail Rifaie bin Noor Muhamad. Seterusnya ialah penyampaian Tausiah Maulid Al-Nabi oleh Ustaz Bukharuddin bin Ismail, Imam Besar Johor.
Pihak masjid mengucapkan jutaan terima kasih dan tahniah kepada para jemaah masjid dan masyarakat sekitar Johor Bahru kerana telah menghadiri, kemudiannya menyertai pertandingan-pertandingan anjuran masjid dan surau-surau BBU ini, serta menginfakkan harta dan tenaga di dalam penganjuran majlis ini.
Semoga dengan penglibatan ini, para hadirin dapat menambahkan ilmu dan memupukkan kasih sayang dan cinta serta rindu kepada junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, kerana tiadalah penglibatan semua dalam menyambut Maulid Al-Nabi SAW melainkan rasa cinta serta memuji Baginda SAW.
قال السري السقطي : من قصد موضعا يقرأ فيه مولد النبي ﷺ فقد قصد روضة من رياض الجنة لأنه ما قصد ذلك الموضع إلا لمحبة الرسول وقد قال ﷺ : من أحبني كان معي في الجنة (النعمة الكبرى على العالم)
Al-Imam Al-Sirri Al-Saqati berkata: "Barangsiapa menghadiri suatu tempat dibacakan Maulid Al-Nabi SAW di dalamnya, maka sesungguhnya dia telah menghadiri salah satu taman dari taman-taman syurga kerana tidak dia hadir ke tempat itu melainkan kerana cinta kepada Rasul. Dan Rasulullah SAW telah bersabda: "Barangsiapa mencintaiku, akan bersamaku di dalam syurga."
