بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين
MAJLIS SUMBANGAN BANTUAN ASNAF BBU & PENYERAHAN ZAKAT KORPORAT MCDONALD'S JOHOR KEPADA MAINJ
Alhamdulillah, Masjid Jamek Bandar Baru Uda (MJBBU) dengan kerjasama McDonald's Johor serta Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) telah mengadakan Majlis Penyerahan Zakat Korporat McDonald's Johor kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), semalam.
Majlis ini telah bermula selepas Maghrib dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Majlis, Imam Haji Mohd Kamal bin Zakaria dan diteruskan dengan Tazkirah Maghrib Khas oleh Al-Fadhil Ustaz Dr. Mohd Rilizam bin Rosli, Pensyarah Kanan ACIS, Universiti Teknologi MARA, Pasir Gudang.
Di dalam tazkirah khas ini, Al-Fadhil Dr mengingatkan keutamaan serta menerangkan kesalahfahaman masyarakat dalam melaksanakan ibadah Zakat termasuklah Zakat Harta dan Zakat Emas & Perak yang sering diabaikan oleh ramai pihak.
Majlis kemudiannya diakhiri dengan penyampaian sumbangan zakat & sumbangan kepada asnaf Bandar Baru Uda dan wakalah zakat kepada Masjid Jamek Bandar Baru Uda oleh pihak McDonald’s Malaysia.
Selepas menunaikan Solat Fardhu Isyak, para tetamu kehormat dan para jemaah dijemput menjamu selera jamuan yang telah ditaja oleh McDonald's Johor. Di ruang yang sama, pihak MAINJ juga membuka kaunter-kaunter Zakat dan Wakaf bagi menguruskan pembayaran zakat oleh para jemaah yang hadir, berkongsi ilmu dan maklumat dan sebagainya.
Pihak masjid mengucapkan jutaan terima kasih kepada para jemaah di atas kehadiran di dalam majlis ini seterusnya meraikan dan melancarkan majlis ini dengan jayanya sekaligus mengimarahkan masjid ini.
قال الله تعالى : قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا
Allah SWT berfirman: "Sesungguhnya berjayalah orang yang mensucikan dirinya."
قال الشيخ محمد زياد الوضاحي الشرعبي : الزكاة هي لغة التطهير والإصلاح والنماء والمدح (فتح الصمد شرح الزبد 158)
Al-Sheikh Muhammad bin Ziyad Al-Waddahi Al-Syar'abi: Zakat ia pada lughah (bahasa) adalah membersihkan, mengislah, berkembang dan pujian."