بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين
PROGRAM KEHAMILAN, HAK ANAK & PERSEDIAAN KEIBUBAPAAN
Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan (FSSH), UTM telah bekerjasama dengan Masjid Jamek Bandar Baru Uda (MJBBU) melalui Unit Hal Ehwal Wanita (HELWA) dengan mengadakan program Kehamilan, Hak Anak & Persediaan Keibubapaan di masjid pada Sabtu lalu (17 Oktober 2026).
Program ini telah diadakan di Bilik Mesyuarat MJBBU di aras 2 masjid dengan penyertaan seramai 45 orang. Program telah berjalan dengan lancar dengan bermula seawal jam 9.00 pagi dan berakhir pada 12.40 tengah hari.
Dalam sesi pertama, program dimulakan dengan ceramah khas yang telah disampaikan oleh Dr. Nasiibah binti Ramli, Pensyarah Kanan, Akademik Tamadun Islam, FSSHUTM, dengan tajuk khas "Hak Anak Pada Perspektif Syariah". Selepas itu program berehat sebentar dan diteruskan dengan sesi ke-2, iaitu kemuncak program, Forum Interaktif Tanya Pakar bersama Pensyarah UTM, Dr. Nadhirah binti Muhamad Arib, Doktor Perubatan Keluarga dan Medical MythBusters Malaysia, Dr. Sakinah binti Sulong dan Peguambela & Peguamcara, Puan Roslina binti Sabiyah.
Sesi-sesi yang diadakan telah mendapat sambutan yang baik dikalangan peserta dengan berbagai soal jawab diadakan bagi isu-isu kekeluargaan, pengurusan anak-anak dan hak-hak mereka pada duniawi dan ukhrawi serta hubungan pasangan suami isteri dalam rumahtangga samada dalam kehidupan yang sentiasa berselisihfaham dan bersatupadu memahami sesama bagi membina keluarga yang bahagia.
Pihak masjid mengucapkan ribuan terima kasih dan tahniah kepada para peserta yang telah hadir dan sertai program yang diadakan ini. Semoga ianya memberi pelbagai manfaat, melahirkan kefahaman serta keinsafan kepada setiap kita agar melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu bapa dan anak dalam melahirkan Usrah yang memberi kebaikan kepada masyarakat.
قال الشيخ محمد سالم محيسن : الاسرة هي الامة الصغيرة للمجتمع الكبير فاذا ما صلحت صلح المجتمع كله واذا ما فسدت فسد المجتمع ايضا اذ الاسرة مثلها فى ذلك مثل القلب بالنسبة للانسان
Al-Syeikh Muhammad Salim Muhaysin berkata: "Al-Usrah (keluarga) itu adalah umat kecil bagi masyarakat besar. Lalu apabila baiklah ia, baiklah masyarakat itu dan apabila rosaklah ia, rosaklah masyarakat itu juga. Ini kerana keluarga itu ibaratnya pada yang demikian adalah seperti hati bagi seseorang."
فمن الاسرة تعلم الانسان افضل اخلاقه الاجتماعية ومنها تعلم الرافة والمحبة والحنان (الاسرة السعيدة فى ظل تعاليم الاسلام)
"Maka dari keluarga itulah seseorang itu mempelajari seafdal akhlak masyarakat dan darinya dia mempelajari belas kasihan, kecintaan dan kelembutan."