• Main
  • News

بسم الله الرحمن الرحيم

بسم الله الرحمن الرحيم

بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين

MAJLIS SOLAT HAJAT PERDANA SEMPENA PEPERIKSAAN SDEA & SDKA 2026 SABBU

Sekolah Agama Bandar Baru Uda (SABBU) dengan kerjasama Masjid Jamek Bandar Baru Uda (MJBBU) melalui Unit Hal Ehwal Wanita (HELWA) masjid telah mengadakan Majlis Solat Hajat Perdana bersempena peperiksaan Sijil Darjah Enam Agama (SDEA) dan Sijil Darjah Khas Agama (SDKA) bagi tahun ini.

Majlis yang diadakan semalam (22 Oktober 2026), telah bermula selepas Maghrib dan telah berjalan dengan lancar dengan kehadiran seramai 1000 orang dari jemaah Bandar Baru UDA, murid-murid SABBU, ibu bapa dan lain-lain.

Majlis dilaksanakan bagi memohon hajat dan doa agar dikurniakan kecemerlangan dan kejayaan kepada murid-murid yang akan menduduki peperiksaan SDEA dan SDKA di SABBU khususnya dan di seluruh Johor umumnya.

Majlis bermula dengan ucapan alu-aluan dari Pengerusi Badan Kebajikan SABBU, Encik Ahmad Fazli bin Murad, penyampaian cenderamata dari SABBU kepada pihak masjid dan kemudian diteruskan dengan bacaan Yasin, Tahlil dan Selawat Tafrijiyah oleh Imam Ibrahim Adham Afif bin Ismail dan Bilal Mohamad Khairulanuar bin Mohamad Dun. Manakala selepas Isyak, para jemaah menunaikan Solat Sunat Hajat berjemaah sebelum menjamu selera.

Pihak masjid mengucapkan jutaan terima kasih di atas kehadiran para jemaah dan masyarakat setempat ke Majlis Solat Hajat Perdana anjuran SABBU dan Masjid Jamek Bandar Baru UDA kali ini dan secara tidak langsung mengimarahkan masjid ini. Semoga segala hajat yang dipinta diperkenankan oleh Allah SWT.

روينا في كتاب الترمذي وابن ماجه عن عبد الله بن ابي اوفى رضي الله عنهما قال : قال رسول الله ﷺ : من كانت له حاجة الى الله تعالى او الى احد من بني ادم فليتوضا وليحسن الوضوء ثم ليصل ركعتين، ثم ليثن على الله عز وجل وليصل على النبي ﷺ

"Telah kami riwayatkan dalam kitab Al-Imam Al-Tirmizi dan Ibn Majah, dari Abdillah bin Abi Aufa RA, beliau berkata: "Sabda Rasulullah SAW: Barangsiapa baginya suatu hajat kepada Allah SWT atau kepada seseorang, maka hendaklah dia berwuduk dengan wuduk yang baik. Kemudian hendaklah dia mendirikan sembahyang dua (2) rakaat. Kemudian hendaklah dia memuji ke atas Allah SWT dan berselawat ke atas Nabi SAW."

ثم ليقل : لا اله الا الله الحليم الكريم سبحان الله رب العرش العظيم الحمد لله رب العالمين اسالك موجبات رحمتك وعزائم مغفرتك والغنيمة من كل بر والسلامة من كل اثم لا تدع لي ذنبا الا غفرته ولا هما الا فرجته ولا حاجة هي لك رضا الا قضيتها يا ارحم الراحمين (الأذكار 156)

"Kemudian dia berdoa: Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah Al-Halim Al-Karim. Maha suci Allah, Tuhan Al-Arsh Al-Azim. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Aku memohon kepadaMu rahmatMu, keampunanMu, kemenangan dari setiap kebaikan dan keselamatan dari setiap dosa. Janganlah Engkau membiarkanku berdosa melainkan Engkau telah mengampuninya (dosa), tiadalah kesukaran melainkan Engkau menunjuki jalan keluarnya (dari kesukaran) dan tiadalah hajat yang Engkau redai melainkan Engkau menunaikannya, wahai yang Maha Al-Rahman Al-Rahim."


About Us

  • Masjid Jamek Bandar Baru UDA

    Masjid ini berkeluasan 18,640 kps boleh memuatkan seramai 5,400 jemaah, telah dibina pada 31 Disember 1996 dan mula diimarahkan pada 3 Januari 1997 (Jumaat).