بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين
PROGRAM BICARA ILMU "CINTA SELEPAS AKAD" DI MJBBU
Masjid Jamek Bandar Baru Uda (MJBBU) melalui Biro Hal Ehwal Wanita (HELWA) masjid telah bekerjasama dengan Bahagian Pembangunan Keluarga, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dengan mengadakan program Bicara Ilmu: "Cinta Selepas Akad" hari ini.
Program ini telah diadakan di Dewan Suliman MJBBU dengan penyertaan seramai 120 peserta. Program telah berjalan dengan lancar dengan bermula seawal jam 8.00 pagi dan berakhir pada 12.40 tengah hari.
Program telah dimulakan dengan sesi pendaftaran, diikuti dengan sarapan serta sesi bergambar. Program diteruskan dengan bacaan doa oleh Imam Asyiq Zarifnukman bin Mohd Nawab, Imam MJBBU dan diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi MJBBU, Ustaz Haji Md Burhanuddin bin Haji Tibek.
Program diteruskan dengan slot pertama Ceramah Kekeluargaan yang telah disampaikan oleh Ustazah Hajah Hasnita binti Hashim, Penolong Pengarah, Bahagian Pembangunan Keluarga JAINJ dengan tajuk "Hak-hak Suami Isteri Dalam Perkahwinan" yang mana ia menjadi teras bagi kehidupan berumahtangga kerana agama menetapkan undang-undang ke atas suami dan isteri dalam membina keluarga yang bahagia.
Di dalam slot berikutnya ialah kemuncak program iaitu bersama Tuan Haji Mohd Zamri bin Kambari dengan tajuk "Lelaki Qawwam". Ini merupakan keutamaan dalam sebuah keluarga kerana setiap keluarga itu adanya pemimpin dan baginya ialah tanggungjawaban serta amanah di atas pimpinannya dari isterinya dan anak-anaknya agar terpelihara dan menjadi Usrah yang penuh kebaikan dan kehormatan.
Program turut diselangi dengan soal jawab dikalangan peserta dan pelbagai nasihat, huraian dan peringatan yang telah dikongsikan oleh penceramah-penceramah ketika sesi-sesi berlangsung. Program diakhiri dengan penyampaian cenderamata dan jamuan.
Pihak masjid mengucapkan ribuan terima kasih dan tahniah kepada para peserta yang telah hadir dan sertai program yang diadakan ini. Semoga ianya memberi pelbagai manfaat, melahirkan kefahaman serta keinsafan kepada setiap kita agar melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu bapa dan anak dalam melahirkan Usrah yang memberi kebaikan kepada masyarakat.
قال الشيخ محمد سالم محيسن : الاسرة هي الامة الصغيرة للمجتمع الكبير فاذا ما صلحت صلح المجتمع كله واذا ما فسدت فسد المجتمع ايضا اذ الاسرة مثلها فى ذلك مثل القلب بالنسبة للانسان
Al-Syeikh Muhammad Salim Muhaysin berkata: "Al-Usrah (keluarga) itu adalah umat kecil bagi masyarakat besar. Lalu apabila baiklah ia, baiklah masyarakat itu dan apabila rosaklah ia, rosaklah masyarakat itu juga. Ini kerana keluarga itu ibaratnya pada yang demikian adalah seperti hati bagi seseorang."
فمن الاسرة تعلم الانسان افضل اخلاقه الاجتماعية ومنها تعلم الرافة والمحبة والحنان (الاسرة السعيدة فى ظل تعاليم الاسلام)
"Maka dari keluarga itulah seseorang itu mempelajari seafdal akhlak masyarakat dan darinya dia mempelajari belas kasihan, kecintaan dan kelembutan."