بسم الله الرحمن الرحيم

بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين

KEMULIAAN PARA SYUHADA DI JALAN ALLAH SWT

Syahid di jalan Allah SWT merupakan bentuk syahid yang tertinggi di antara tingkatan syahid. Iaitu syahid oleh orang-orang yang bertakwa yang ikhlas berjuang dan menegakkan Islam.

Islam mengecualikan orang-orang yang syahid dan terkorban di medan perang dari dimandikan dan disembahyangkan. Ini kerana darjat keagungan mereka dalam menegakkan Islam dari musuh-musuh yang mendustakan para Rasul, para Auliya dan memerangi umat Islam.

Firman Allah SWT:

وَلَا تَحْسَبَنَّ الَّذِيْنَ قُتِلُوْا فِيْ سَبِيْلِ اللّٰهِ اَمْوَاتًا بَلْ اَحْيَاۤءٌ عِنْدَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُوْنَۙ

Maksudnya: "Dan jangan sekali-kali kamu mengira bahwa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati; sebenarnya mereka itu hidup di sisi Tuhannya mendapat rezeki."

Para ulama menceritakan dan meriwayatkan hikmah dan kemuliaan Allah SWT ke atas para syuhada di dalam medan perang dengan dikecualikan dari dimandikan dan disembahyangkan.

Kata al-Syeikh Abu Bakar Othman al-Dimyati:

لانه مشهود له بالجنة

Mafhumnya: "Kerana sesungguhnya orang yang mati syahid disaksikan baginya syurga."

وقيل: لأن ملائكة الرحمة يشهدونه فيقبضون روحه

Mafhumnya: "Dan sebahagian mengatakan: "Kerana para malaikat rahmat menghampirinya dan mengambil rohnya."

يحرم غسله ولو كان جنبا، لأن حنظلة بن الراهب قتل يوم أحد وهو جنب، ولم يغلسه النبي ﷺ وقال: رأيت الملائكة تغسله رواه بن حبان والحاكم في صحيحهما

Mafhumnya: "Yakni haram memandikan jenazah orang yang syahid walaupun dia dalam keadaan berhadas kerana sesungguhnya Hanzalah bin al-Rahib dibunuh pada hari Uhud dan dia berhadas. Lalu Nabi SAW tidak memandikan jenazahnya dan Baginda bersabda: "Aku telah lihat para malaikat memandikannya. Riwayatnya al-Imam Ibn Hibban dan al-Hakim di dalam Sahih mereka."

Demikian Allah SWT mengagungkan para syuhada yang terkorban menegakkan kalimah Allah yang mulia. Dikala tercetus peperangan di antara Gaza dengan rejim Zionis Israel, tentera Hamas dan rakyat Gaza berperang demi mempertahankan bumi para Anbiya dan umat Islam, semestinya Allah SWT akan memberikan kemenangan kelak di atas takdirNya sebagaimana hadis-hadis RasulNya tentang peperangan di al-Aqsa.

Mereka berperang menegakkan hak dan menghancurkan batil dan mereka akan kembali menjadi syuhada di sisi Allah SWT. Allah SWT akan memuliakan mereka dengan sebaik-baik ganjaran pahala, penyaksian syurga bagi mereka, memancarkan haruman pada darahnya dan dinaungi para malaikat Allah SWT.

Oleh itu marilah kita turut mendoakan mereka dengan Qunut Nazilah (https://www.facebook.com/mjbbUDA/posts/pfbid0TdMsparu7KWvHhWU718iNYi89wN8SLz39L5CwK34Rhs2BsjApAEdSV9157Gi5EURl) di dalam solat fardu agar Allah SWT memberikan bantuanNya serta memberikan kemenangan kepada tentera Hamas dan mengazab orang-orang kafir dan musyrik rejim Zionis Israel.