بسم الله الرحمن الرحيم

بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين

IBADAH 10 AWAL ZULHIJAH & PUASA SUNAT HARI ARAFAH

Bulan Zulhijah adalah di antara bulan-bulan Haram yang suci dan ia adalah bulan terakhir di dalam Takwim Hijriah. Umat Islam dituntut untuk memperbanyakkan amalan pada bulan yang mulia ini apatahlagi menjauhi maksiat dan kezaliman, terutama pada 10 awal Zulhijah. Bahkan telah disyariatkan umat Islam untuk melaksanakan ibadah Haji pada hari tersebut.

Firman Allah SWT di dalam Surah al-Fajr:

وَالْفَجْرِ (1) وَلَيَالٍ عَشْرٍ (2)

"Demi waktu fajar. Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah)."

Kata Al-Imam Alauddin Al-Banghdadi Al-Khazin di dalam Tafsir Al-Khazin Lubab Al-Ta'wil Fi Ma'ani Al-Tanzil:

أقسم الله عز وجل بالفجر وما بعده لشرفها وما فيها من الفوائد الدينية

"Allah SWT bersumpah di waktu fajar serta waktu di dalamnya dan selepasnya bagi memuliakannya pada faedah agama."

روى عن ابن عباس أنها العشر الأول من ذي الحجة لأنها أيام الاشتغال بأعمال الحج وأخرج الترميذي عن ابن عباس قال رسول الله ما من أيام العمل الصالح فيها أحب إلى الله من هذه الأيام العشر

"Dan para ulama berselisih pendapat padanya ... Diriwayatkan daripada Ibn Abbas bahawa malam itu adalah 10 hari pertama dari bulan Zulhijah kerana ia adalah hari-hari yang disibukkan dengan amalan-amalan ibadah Haji. Al-Imam Al-Tirmizi telah meriwayatkan daripada Ibn Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada hari yang mana amal soleh dilakukan padanya lebih dicintai oleh Allah SWT daripada 10 hari ini (awal Zulhijah)."

Di antara amalan yang digalakkan adalah ibadah puasa dalam 10 hari pertama Zulhijah khususnya kepada umat Islam yang tidak melaksanakan ibadah Haji. Terlebih utama pada hari kesembilan Zulhijah iaitu hari Arafah.

Demikian anjuran para ulama, kata Al-Imam Al-Bajuri di dalam kitabnya:

ﻗﻮﻟﻪ : (ﻭﻣﻨﻪ ﺻﻮﻡ ﻳﻮﻡ ﻋﺮﻓﺔ) ﻭﻫﻮ ﺗﺎﺳﻊ ﺫﻱ ﺍﻟﺤﺠﺔ ﻭﺻﻮﻣﻪ ﻳﻜﻔﺮ ﺫﻧﻮﺏ ﺳﻨﺔ ﻗﺒﻠﻪ ﻭﺳﻨﺔ ﺑﻌﺪﻩ ﻛﻤﺎ ﻓﻲ ﺧﺒﺮ ﻣﺴﻠﻢ : ﺻﻴﺎﻡ ﻋﺮﻓﺔ ﻳﻜﻔﺮ ﺍﻟﺴﻨﺔ ﺍﻟﺘﻲ ﻗﺒﻠﻪ ﻭﺍﻟﺘﻲ ﺑﻌﺪﻩ ﻭﺍﻷﺣﻮﻁ ﺻﻮﻡ ﺍﻟﺜﺎﻣﻦ ﻣﻌﻪ ﺑﻞ ﻳﻨﺪﺏ ﺻﻮﻡ ﻣﺎ ﻗﺒﻠﻪ ﻣﻦ ﺍﻟﻌﺸﺮ ﻭﻣﺤﻞ ﻧﺪﺏ ﺻﻮﻣﻪ ﻟﻐﻴﺮ ﺍﻟﺤﺎﺝ

"Dan termasuk daripadanya (puasa sunat); adalah puasa hari Arafah iaitu pada ke-9 Zulhijah dan puasa tersebut menghapuskan dosa-dosa tahun sebelumnya dan tahun selepasnya sepertimana hadis riwayat Al-Imam Muslim: "Puasa hari Arafah menghapuskan (dosa) tahun sebelumnya dan selepasnya." Untuk lebih berhati-hati, (maka disunatkan) puasa ke-8 (dari Zulhijah) bersamanya bahkan disunatkan berpuasa sebelumnya dari 10 (awal Zulhijah) dan tempat sunat puasa hari Arafah adalah bagi selain yang mengerjakan ibadah Haji."

Semoga kita diberi qudrah untuk meningkatkan amal ibadah serta menjauhi segala bentuk kemaksiatan dan kezaliman serta istiqamah dengannya pada bulan Zulhijah yang suci ini.