بسم الله الرحمن الرحيم

بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين

MAJLIS ZIKIR & KULIAH KHAS HARI ARAFAH MJBBU

Alhamdulillah telah berlangsung Majlis Zikir & Kuliah Khas Hari Arafah MJBBU di Dewan Solat Utama MJBBU pada Ahad yang lalu (16 Jun 2024) dan majlis yang bermula jam 6.00 petang telah berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan yang baik dari jemaah dan ahli kariah masjid.

Majlis bermula dengan bacaan Zikir & Doa Hari Arafah nukilan Al-Allamah Al-Wanaie, telah dipimpin oleh Imam Mohd Shaiful bin Mohd Esa dan Bilal Mohammad Khairulanuar bin Mohammad Dun sebanyak 10 kali zikir. Kemudian majlis diteruskan dengan Kuliah Khas Hari Arafah bersama Habib Syed Naquib bin Muhammad Al-Attas.

Habib di dalam kuliahnya menjelaskan kepentingan dan kelebihan serta keutamaan menghidupkan 10 hari Zulhijah ini dengan pelbagai ibadah seperti anjuran berzikir, berpuasa dan beribadah di awal 10 Zulhijah, hari Tarwiyah, hari Arafah, malam raya dan hari Aidiladha. Ini kerana hari-hari tersebut merupakan hari yang suci dan besar pahala beramal di dalamnya di sisi Allah SWT.

Majlis diteruskan lagi dengan program Iftar Jamaie selepas Solat Fardu Maghrib berjemaah dan diakhiri dengan Solat Sunat Tasbih serta Takbir Raya seusai Solat Fardu Isyak berjemaah yang dipimpin oleh Imam Muhammad Hakimin bin Mohd Fazarin dan para bilal MJBBU.

Pihak masjid mengucapkan ribuan terima kasih kepada para jemaah yang hadir dan sertai majlis ini dan berharap agar para jemaah mendapat pelbagai manfaat darinya.

قال الله تعالى : وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللهِ فِي أَيَّامٍ مَعْلُوماتٍ عَلى ما رَزَقَهُمْ مِنَ بَهِيمَةِ الأنْعامِ

Firman Allah SWT: "Dan mereka memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu."

قال ابن عباس والشافعي والجمهور : هي ايام العشر واعلم انه يستحب الاكثار من الاذكار في هذا العشر زيادة على غيره ويستحب من ذلك في يوم عرفة اكثر من باقي العشر (الاذكار 147)

Kata Al-Imam Al-Nawawi: "Ibn Abbas, Al-Imam Al-Syafie dan jumhur ulama berkata: "(Hari tertentu) ialah hari-hari yang sepuluh (10) (pertama Zulhijah)." Dan ketahuilah bahawa disunatkan memperbanyakkan dari zikir-zikir di hari sepuluh (10) ini, tambahan atas amalan lain dan disunatkan dari demikian itu lebih banyak berzikir di hari Arafah dari berbaki 10 (Zulhijah)."