بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين
PROGRAM KORBAN AIDILADHA 1445H/2024 DI MJBBU
Alhamdulillah telah berlangsung Program Korban Aidiladha di Masjid Jamek Bandar Baru Uda semalam (18 Jun 2024) di perkarangan masjid ini, di Pusat Dialisis & Kesihatan MBBU (PDK). Program ini mendapat sambutan yang amat baik dan dihadiri petugas serta sukarelawan masjid seramai 51 orang.
Bagi program korban tahun ini, pihak masjid melaksanakan korban sebanyak 10 ekor lembu dan 15 ekor kambing. Bagi penyembelihan lembu-lembu telah dilaksanakan di pusat penyembelihan di Pontian dengan pantauan Ketua Imam MJBBU, Imam Haji Mohd Kamal bin Zakaria bersama Imam Muhammad Hakimin bin Mohd Fazarin, Imam Ibrahim Adham Afif bin Ismail, Bilal Muhammad Zulfikri Amin bin Zulkifli dan Bilal Muhammad Hazim Zaim bin Dandan. Kerja-kerja penyembelihan dilakukan seawal jam 9.30 malam di sana dan dihantar ke masjid pada 2.30 pagi keesokannya. Manakala aktiviti-aktiviti melapah daging-daging lembu oleh para petugas dan sukarelawan masjid telah bermula seawal jam 8.00 pagi di perkarangan masjid.
Bagi penyembelihan kambing-kambing pula telah dilaksanakan di masjid pada pagi tersebut dan dipimpin oleh Ustaz Kamal bin Putih, Imam Mohd Shaiful bin Mohd Esa dan Imam Ibrahim Adham Afif bin Ismail. Para peserta yang sempat hadir dapat menyaksikan korban masing-masing dilaksanakan.
Aktiviti-aktiviti pengagihan daging-daging korban pula telah bermula seusai Solat Fardu Zohor berjemaah sehingga jam 2.50 petang dan kerja pembersihan dilakukan sejurus selesai pengurusan sembelihan, melapah dan seumpamanya.
Pihak masjid mengucapkan tahniah kepada para jemaah yang hadir dan sertai aktiviti korban di masjid ini bagi tahun ini dan jutaan terima kasih kepada para petugas dan sukarelawan masjid yang bertungkus-lumus bagi menjayakan ibadah ini.
قال تعالى : فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنْحَرْ
Firman Allah SWT: "Maka tunaikanlah solat untuk Tuhan kamu dan lakukanlah sembelihan."
قال الإمام علاء الدين البغدادي الخازن : معناه ان ناسا كانوا يصلون لغير الله تعالى وينحرون لغير الله فامر الله نبيه ﷺ ان يصلي له وينحر له متقربا الى ربه كذلك (لباب التاويل 4/483)
Kata Al-Imam Alauddin Al-Baghdadi Al-Khazin: "Maksud ayat ialah bahawa manusia, mereka mendirikan solat dan melakukan korban kerana selain Allah SWT. Lalu Allah memerintahkan NabiNya SAW agar Baginda SAW bersolat dan berkorban keranaNya taqarrub (mendekatkan diri) kepada Tuhannya."